Skip to main content

Dunia

ABIM gesa dunia tamatkan pembunuhan, pengepungan sejak tiga tahun di Gaza

Keutamaan dunia mesti jelas, hentikan pembunuhan, tamatkan pengepungan dan akhiri pendudukan haram Israel. - AP
Keutamaan dunia mesti jelas, hentikan pembunuhan, tamatkan pengepungan dan akhiri pendudukan haram Israel. - AP

Advertisement

KUALA LUMPUR: Genap tiga tahun konflik Gaza, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa masyarakat antarabangsa mengutamakan usaha menghentikan pembunuhan, menamatkan pengepungan dan mengakhiri pendudukan haram Israel.

Dalam satu kenyataan, Presiden ABIM Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata gencatan senjata perlu melindungi orang awam, akses kemanusiaan mesti membolehkan kehidupan dipulihkan dan penyelesaian politik mesti menjamin hak rakyat Palestin menentukan masa depan mereka sendiri.

“Keutamaan dunia mesti jelas, hentikan pembunuhan, tamatkan pengepungan dan akhiri pendudukan haram Israel.

“Ketiga-tiga usaha ini mesti berjalan serentak. Keselamatan rakyat Palestin tidak boleh terus ditangguhkan demi menunggu rundingan yang berat sebelah dan gagal memberikan perlindungan kepada mereka,” katanya. 

Ahmad Fahmi juga menggesa Malaysia bekerjasama dengan Palestin, negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan rakan merentas rantau iaitu negara yang sehaluan (like minded countries) untuk membela hak rakyat Palestin. 

Beliau berkata setiap negara yang menyertai kerjasama itu perlu mengumumkan tindakan dan melaporkan kemajuan, sambil memastikan akses kemanusiaan dilindungi.

 Agensi antarabangsa melaporkan pada Oktober 2023, konflik Palestin-Israel meningkat apabila Israel berdepan serangan roket berskala luar biasa dari Semenanjung Gaza.

Jumlah keseluruhan rakyat Palestin yang terkorban sejak konflik bermula kini mencecah 74,250 orang manakala jumlah yang cedera ialah 175,278 orang.

 Tentera Israel kemudiannya melancarkan operasi darat yang mengakibatkan sebahagian besar Semenanjung Gaza musnah. 

Gencatan senjata berkuat kuasa di Semenanjung Gaza sejak Oktober 2025, namun tentera Israel terus melancarkan serangan ke atas wilayah Palestin.

Ahmad Fahmi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission (GPM) Malaysia berkata dunia terus menghitung rakyat Palestin yang terbunuh, cedera dan kehilangan tempat tinggal.

“Setiap angka itu ialah seorang manusia yang mempunyai nama, keluarga dan harapan.

“Adakah nyawa rakyat Palestin hanya dinilai sebagai angka dalam laporan dan statistik korban? Sampai bilakah penderitaan mereka akan terus dicatat, sedangkan hak untuk hidup dengan selamat masih belum terjamin?,” soal beliau. 

Menurut Ahmad Fahmi, universiti, media dan masyarakat sivil Malaysia boleh bekerjasama dengan organisasi Palestin untuk mengesahkan serta mengarkibkan kesaksian dengan persetujuan dan perlindungan identiti yang sewajarnya.

Rakyat Malaysia juga boleh memastikan pendidikan dan pemulihan diteruskan melalui sumbangan berkala kepada organisasi yang telus, katanya.

Ahmad Fahmi berkata solidariti mesti diukur melalui tindakan yang menjamin hak tersebut. Palestin bukan sekadar angka korban atau ulang tahun untuk diperingati.

Selagi penindasan berterusan, tanggungjawab dunia belum dipenuhi.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement