Skip to main content

Dunia

Aerosol, ozon permukaan beri impak negatif terhadap kesihatan manusia - WMO

41701414526_Womenwearingmasks.jpg
Terdapat kesalinghubungan kompleks antara kualiti udara dan iklim, menonjolkan kesan negatif aerosol termasuk bahan zarahan dan ozon permukaan terhadap kesihatan manusia. - Gambar hiasan
Advertisement

GENEVA: Pencemaran daripada kebakaran dan gelombang haba 2025 mengancam kualiti udara antarabangsa dan usaha kesihatan, serta pemantauan lebih baik terhadap jirim zarahan 2.5 (PM 2.5), ozon, karbon hitam dan mikroplastik amat diperlukan, kata Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) pada Isnin.

Dikeluarkan pada Hari Udara Bersih Antarabangsa untuk Langit Biru, Buletin Kualiti Udara dan Iklim WMO edisi 2025 mengesan kesalinghubungan kompleks antara kualiti udara dan iklim, menonjolkan kesan negatif aerosol termasuk bahan zarahan dan ozon permukaan terhadap kesihatan manusia.

Buletin itu menyatakan bahawa PM2.5 terdiri daripada zarah dan titisan kecil dengan diameter kurang daripada 2.5 mikrometer, yang menimbulkan ancaman kesihatan kerana ia boleh menembusi jauh ke dalam paru-paru dan memasuki aliran darah.

Sumber PM2.5 adalah pelbagai seperti daripada aktiviti perindustrian, pertanian, pemanasan kediaman dan pengangkutan kepada kebakaran hutan dan ribut debu.

Kepekatan PM2.5 pada 2025 adalah melebihi purata jangka panjang di utara Kanada, bahagian Persekutuan Rusia, barat tengah Afrika dan barat laut Sepanyol disebabkan peningkatan aktiviti kebakaran.

China terus merekodkan paras PM2.5 di bawah purata jangka panjang, mencerminkan penurunan dalam pelepasan antropogenik.

Selain itu, menurut buletin berkenaan, kebakaran hutan yang melampau semakin kerap berlaku dan menghasilkan asap yang sangat toksik, dengan akibat yang serius kepada kesihatan awam.

Satu kajian yang dipetik dalam laporan itu menunjukkan bahawa kejadian asap kebakaran yang melampau telah meningkat tiga kali ganda di seluruh dunia sejak 1990-an, membawa kepada anggaran hampir 100,000 kematian tambahan setiap tahun antara 2010 dan 2018.

Penilaian risiko kualiti udara semasa sering gagal untuk mengambil kira sepenuhnya peningkatan ketoksikan asap kebakaran hutan, laporan itu memberi amaran.

Pencemaran ozon pada aras permukaan tanah menjejaskan kesihatan manusia, pertanian dan ekosistem, dan semakin menjadi kebimbangan berikutan gelombang haba yang lebih kerap. Pendedahan jangka panjang kepada ozon dikaitkan dengan kematian yang lebih tinggi, terutamanya berkaitan penyakit pernafasan.

Penyelidikan baru-baru ini menunjukkan gabungan peningkatan suhu, genangan atmosfera dan sinaran suria yang terik, menggalakkan pembentukan ozon permukaan semasa gelombang haba, dan peningkatan pendedahan ozon yang terhasil boleh membawa kepada puluhan ribu kematian pramatang, dengan risiko kesihatan berkaitan ozon dijangka meningkat lagi pada masa hadapan.

Menurut laporan itu, zarah aerosol boleh bergerak jauh dari sumbernya merentasi lautan dan benua, mengubah cara atmosfera memantulkan cahaya matahari. Zarah tersebut juga mengubah kimia tanah dan badan air dan boleh mencemarkan persekitaran yang murni sebelum ini.

Susulan peningkatan berterusan dalam pengeluaran plastik dan pengurusan sisa plastik yang tidak sempurna, buletin itu menekankan bahawa pemantauan laluan atmosfera pemendapan mikroplastik dalam persekitaran terpencil adalah penting untuk memahami kesan keseluruhannya terhadap sistem bumi.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video

Advertisement