Skip to main content

Dunia

Ahli Parlimen gesa Andrew digugurkan daripada senarai pewaris takhta British

FILE - Britain's Andrew Mountbatten-Windsor, formerly known as Prince Andrew, looks round as he leaves after attending the Easter Matins Service at St. George's Chapel, Windsor Castle, England, April 20, 2025. (AP Photo/Kirsty Wigglesworth, File)
Gambar Andrew Mountbatten‑Windsor dari Britain, yang sebelum ini dikenali sebagai Putera Andrew yang dirakamkan ketika beliau beredar selepas menghadiri Istiadat Easter Matins di Chapel St. George, Istana Windsor, England, pada 20 April 2025. - Gambar fail AP

LONDON: Seorang Ahli Parlimen Britain mencadangkan agar Andrew Mountbatten‑Windsor digugurkan sepenuhnya daripada senarai pewaris takhta susulan siri kontroversi yang terus membayangi bekas Duke of York itu, terutama kaitannya dengan pesalah seks Jeffrey Epstein - hubungan yang beliau tetap menafikan melibatkan salah laku.

Rachael Maskell, Ahli Parlimen Parti Buruh bagi kawasan York Central berkata kepada BBC bahawa Andrew “berkali-kali tidak berlaku jujur” dan menegaskan beliau tidak lagi wajar mengekalkan sebarang status rasmi, termasuk kedudukan sebagai Counsellor of State, iaitu peranan yang membolehkan beliau membuat keputusan bagi pihak raja ketika ketiadaannya.

Advertisement

“Andrew harus menjadi seorang warganegara biasa"

Maskell turut menegaskan bahawa semua kedudukan dan gelaran yang masih dikaitkan dengan Andrew perlu ditarik balik, supaya beliau berdiri sebagai “seorang warganegara biasa yang bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakannya.”

Andrew kini berada di tempat kelapan dalam senarai pewarisan takhta British.

Kedudukannya sebagai Counsellor of State secara teori membolehkan beliau membuat keputusan terdelegasi jika raja tidak berupaya menjalankan tugas secara langsung. 

Maskell sebelum ini pernah membawa cadangan pindaan undang-undang yang membolehkan Raja menarik balik gelaran diraja seseorang - sama ada atas syor Parlimen atau atas permintaan individu yang memegang gelaran itu sendiri. 

Namun, usaha tersebut terhenti selepas kerajaan enggan memperuntukkan masa perbahasan di Dewan Rakyat.

Bercakap kepada BBC Radio 4, Maskell turut menuntut penelitian lebih teliti terhadap peranan Andrew ketika menjadi utusan perdagangan United Kingdom antara 2001 hingga 2011.

Beliau berkata, siasatan harus menentukan sama ada berlaku pelanggaran kepercayaan atau salah guna maklumat sulit ketika Andrew memegang peranan tersebut. 

“Kita perlu tahu apa yang berlaku ketika itu - apakah yang diperkatakan, dan sama ada maklumat negara telah disalahgunakan,” katanya.

Menurut laporan, pihak istana dan Andrew sendiri telah dihubungi untuk mendapatkan komen, namun belum memberikan sebarang maklum balas.

Must Watch Video