Skip to main content

Malaysia

Wanita maut, dua cedera kemalangan tiga kenderaan di Bukit Beruntung

Wanita maut, dua cedera kemalangan tiga kenderaan di Bukit Beruntung. JBPM
Sejumlah 15 pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang (BBP) dan tiba di lokasi pada 7.41 pagi. - Foto JBPM

KUALA LUMPUR: Seorang wanita maut manakala dua lelaki cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 443.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Bukit Beruntung, pagi Selasa.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, pihaknya menggerakkan 15 pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang (BBP) dan tiba di lokasi pada 7.41 pagi.

Advertisement

"Kemalangan membabitkan sebuah lori treler membawa muatan kapur, sebuah kereta Honda City dan sebuah BMW.

"Seorang lelaki berusia lingkungan 40-an yang juga pemandu lori treler dilaporkan mengalami kecederaan parah di kepala.

"Pemandu Honda City, lelaki berusia lingkungan 50-an, cedera ringan manakala penumpang wanita kenderaan sama berusia lingkungan 50-an disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

"Pemandu BMW, lelaki berusia lingkungan 30-an, dilaporkan selamat tanpa kecederaan," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Ahmad Mukhlis berkata, kesemua mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut.

"Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa," ujarnya.

 

Must Watch Video