MANILA: Ahli seismologi dan pejuang kesiapsiagaan bencana dari Myanmar, Hla Hla Aung, diumumkan sebagai penerima Anugerah ASEAN 2026, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Anugerah berprestij itu disampaikan pada upacara pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Filipina, Pasay City, pada Ahad sebagai pengiktirafan terhadap usaha beliau menterjemahkan pengetahuan saintifik kepada penyelesaian praktikal yang berteraskan komuniti.
Dalam satu kenyataan, ASEAN memaklumkan bahawa usaha Aung telah menyumbang kepada peningkatan kesiapsiagaan menghadapi gempa bumi serta mewujudkan komuniti yang lebih selamat di seluruh Myanmar dan rantau ASEAN.
“Sepanjang perjalanan saya sebagai ahli geologi, penyelidik, pendidik dan yang paling utama, seorang ibu, saya sentiasa berpegang pada kepercayaan bahawa ilmu pengetahuan mesti dimanfaatkan untuk kepentingan manusia.
“Saya berharap perjalanan saya akan memberi inspirasi kepada orang lain untuk menterjemahkan aspirasi mereka kepada tindakan bermakna yang menyumbang kepada pembentukan komuniti lebih kukuh, selamat dan berdaya tahan di seluruh ASEAN,” kata Aung.
Dalam satu temu bual, Aung berkata, perkongsian maklumat tepat pada masanya kekal sebagai antara langkah paling penting yang boleh diusahakan oleh sesebuah komuniti untuk meningkatkan daya tahannya.
Beliau menjelaskan bahawa ketika berlaku bencana seperti gempa bumi, usaha menyelamatkan nyawa sering bergantung pada langkah asas seperti tindakan segera berdasarkan nasihat yang disokong oleh pengetahuan saintifik.
“Menerima Anugerah ASEAN mengingatkan saya bahawa ukuran sebenar sumbangan kita bukan hanya terletak pada apa yang kita capai, tetapi juga pada perubahan yang kita bawa kepada komuniti,” kata Aung.
Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn memuji dedikasi sepanjang hayat Aung dalam meningkatkan daya tahan rantau ini terhadap bencana.
“Sumbangan luar biasa beliau bukan sahaja membantu komuniti di Myanmar, malah menyokong keutamaan ASEAN yang lebih luas dalam pengurusan bencana dan pembangunan mampan.
“Beliau membuktikan bagaimana pengetahuan saintifik yang disokong kerjasama serantau boleh diterjemahkan kepada inisiatif komuniti yang nyata dan bermakna serta memberi manfaat kepada rakyat ASEAN,” katanya.
Anugerah ASEAN yang mula diperkenalkan pada 2018 ditadbir oleh Sekretariat ASEAN dengan sokongan Temasek Foundation dan Ayala Foundation dari Filipina.
Anugerah itu mengiktiraf individu atau organisasi yang memberikan sumbangan cemerlang dalam memajukan kerjasama serantau dan memupuk semangat pembinaan Komuniti ASEAN di rantau ini.
Penerima anugerah diberikan trofi Anugerah ASEAN dan hadiah wang tunai AS$20,000.
-- BERNAMA-PNA