Skip to main content

Dunia

Alibaba perkenal model AI kesan kanser, hampir 150 keadaan perubatan

[TB]_Alibaba Damo Academy_Alibaba Damo Academy
Model bahasa-visual dikenali sebagai Damo Radar itu dibangunkan oleh cabang penyelidikan Alibaba, Damo Academy.
Advertisement

ISTANBUL: Alibaba memperkenalkan model kecerdasan buatan (AI) sumber terbuka yang mampu mengenal pasti hampir 150 keadaan perubatan berkaitan abdomen termasuk kanser, menerusi imbasan tomografi berkomputer (CT), lapor Anadolu Ajansi memetik media tempatan.

Model bahasa-visual dikenali sebagai Damo Radar itu dibangunkan oleh cabang penyelidikan Alibaba, Damo Academy, menurut institut berkenaan pada Jumaat, lapor South China Morning Post yang berpangkalan di Hong Kong.

Damo Radar mampu menganalisis imbasan CT merangkumi 18 organ di bahagian abdomen bagi mengesan pelbagai penyakit dan keabnormalan, termasuk tumor malignan.

Dalam hampir 40,000 pemeriksaan dunia sebenar, model itu mencatat purata skor kawasan di bawah lengkung (AUC) sebanyak 0.913 bagi 146 penemuan klinikal, menghampiri skor maksimum 1.0.

Pasukan penyelidik menyifatkan Damo Radar sebagai “model pengimejan perubatan serba guna bertaraf pakar pertama di dunia” dan berkata teknologi itu berpotensi diperluaskan kepada jenis pengimejan perubatan lain pada masa depan.

Dalam satu kajian yang melibatkan 26 pakar radiologi dari beberapa hospital, model itu secara purata mencatat prestasi lebih baik berbanding 23 daripada peserta berkenaan.

Penggunaan model itu turut membantu pakar radiologi mengurangkan diagnosis yang gagal dikenal pasti sebanyak 10 peratus dan memendekkan masa diagnosis lebih 30 peratus.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement