LONDON: Amaran kesihatan akibat haba mula berkuat kuasa di United Kingdom (UK) ketika gelombang haba kelima tahun ini dijangka melanda negara itu, dengan suhu maksimum sehingga 36 darjah Celsius diramalkan melanda beberapa kawasan minggu depan, lapor PA Media/dpa.
Amaran kesihatan tahap kuning itu mula berkuat kuasa pada pagi Sabtu dan akan kekal sehingga malam Selasa.
Amaran berkenaan memberi peringatan bahawa cuaca panas berkemungkinan menjejaskan kesejahteraan penduduk serta meningkatkan tekanan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan.
Pejabat Meteorologi UK (Met Office) memaklumkan suhu akan terus meningkat sepanjang hujung minggu sebelum keadaan gelombang haba kembali melanda minggu depan, dengan suhu maksimum 36 darjah Celsius dijangka direkodkan di beberapa kawasan di East Anglia dan tenggara England menjelang Khamis.
Dua gelombang haba yang memecahkan rekod pada Mei dan Jun dipercayai menyumbang kepada lebih 2,800 kematian, manakala dua lagi gelombang haba pada Julai mencetuskan kemarau dan kebakaran hutan.
Suhu tertinggi tahun ini, iaitu 38 darjah Celsius, direkodkan di Lingwood, Norfolk, pada 28 Jun.
Setakat ini, sebanyak 33 hari pada tahun ini mencatatkan suhu melebihi 30 darjah Celsius di beberapa kawasan di UK.
Rekod 34 hari, yang dicatatkan pada 1995, dijangka diatasi minggu depan.
Menurut peramal cuaca, keadaan cuaca pada hujung minggu akan memperlihatkan perbezaan ketara antara utara dan selatan, dengan Scotland dan Ireland Utara dijangka mengalami hujan lebat berselang-seli, manakala England dan Wales dijangka kekal kering, cerah dan semakin panas.
Suhu dijangka mencecah 30 darjah Celsius pada Sabtu sebelum meningkat kepada sekitar 30-an darjah Celsius di selatan dan tenggara England pada Ahad.
Suhu maksimum sehingga 30 darjah Celsius dijangka direkodkan di beberapa kawasan di England dan Wales pada Selasa, sebelum meningkat kepada antara 32 dan 34 darjah Celsius pada Rabu, dengan suhu tertinggi dijangka berlaku pada Khamis.
Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA) telah mengeluarkan amaran kesihatan tahap kuning bagi East Midlands, West Midlands, Tenggara, Barat Daya, Timur England, Yorkshire dan Humber serta London.
-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa