Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama mendakwa negara itu berdepan ancaman digodam Rusia lagi di masa hadapan.

Beliau turut mendakwa ancaman tersebut mungkin boleh berlaku kepada sekutu Amerika di dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Beliau membuat kenyataan berkenaan dalam temubual bersama ABC News pada Ahad.

"Sebahagian daripada sebab saya mengarahkan laporan ini bukan semata-mata untuk membangkitkan semula apa yang telah berlaku sejak beberapa bulan lalu, tetapi untuk memastikan bahawa kita memahami apa dilakukan Putin sejak sekian lama di Eropah," kata Obama.

"Akan ada lagi pilihan raya di negara-negara sekutu NATO yang perlu kita berikan perhatian. Saya menjangkakan perkara seperti ini boleh lagi berlaku di sini," tambahnya.

Beliau dalam masa yang sama turut berkongsi butiran perbincangan bersama bakal presiden AS, Donald Trump.

"Perbualan tersebut mesra. Beliau telah dimaklum mengenai cadangan dan perkara yang ingin saya sampaikan iaitu terdapat perbezaan antara berkempen dan mentadbir.

Beliau turut memberitahu Trump bahawa menguruskan negara tidak sama dengan menguruskan sebuah perniagaan keluarga.

Obama sebelum ini mendakwa Russia telah menggodam ke dalam sistem pilihan raya Amerika untuk memberi kemenangan kepada Trump yang merupakan calon Republikan.

Susulan daripada dakwaan tersebut, Obama menghalau sekumpulan diplomat Russia di Amerika yang didakwa perisik.