Amerika Syarikat akan capai persetujuan dengan Brazil, ramal kesepakatan dengan China - Trump

Trump dan Lula mengadakan pertemuan di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur, 26 Okt 2025. (Foto AP)
ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Ahad berkata beliau menjangkakan akan mencapai satu persetujuan dengan Brazil selepas bertemu dengan Presiden Luiz Inacio Lula da Silva di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur, lapor Anadolu Ajansi.
"Ia satu penghormatan besar dapat bersama Presiden Brazil - sebuah negara yang hebat. Negara yang besar dan indah," kata Trump. "Saya rasa kita boleh capai beberapa persetujuan yang baik. Kami berbincang dan saya fikir akhirnya kita akan mempunyai hubungan yang sangat baik."
Trump menyatakan keyakinan terhadap kemajuan pesat dalam rundingan itu. "Mereka boleh menawarkan banyak perkara dan kami juga boleh menawarkan banyak perkara dan ini baik untuk kedua-dua negara," katanya sambil berkata rundingan mungkin diselesaikan "dengan agak cepat."
Lula pula mengetengahkan kepentingan mengekalkan hubungan "luar biasa" dengan Amerika Syarikat, sambil berkata tidak ada sebab untuk berlakunya pertikaian.
Pertemuan antara Trump dan Lula itu diadakan selepas ketegangan diplomatik susulan pelaksanaan tarif 50 peratus oleh AS serta sekatan ke atas beberapa pegawai Brazil yang dikaitkan dengan siasatan terhadap sekutu Trump, bekas Presiden Jair Bolsonaro, yang dijatuhkan hukuman 27 tahun penjara kerana merancang rampasan kuasa.
Kedua-dua pemimpin itu sebelum ini berbual melalui panggilan video pada awal Oktober sebelum bersetuju untuk bertemu secara bersemuka.
Trump turut meramalkan kejayaan dalam rundingan akan datang dengan Presiden China Xi Jinping di Korea Selatan. "Saya fikir kami akan mencapai persetujuan dengan China. Mereka mahu satu penyelesaian dan kami juga mahu satu persetujuan," katanya sambil menjelaskan yang mesyuarat seterusnya akan diadakan di China, dan sama ada di Washington atau Mar-a-Lago.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


