awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Gajah liar ragut 20 nyawa di Jharkhand, India lancar operasi besar-besaran
Reman bekas Panglima TDM tidak dilanjut, seorang lagi pegawai tinggi ATM ditahan - KP SPRM
Kiefer Sutherland ditahan atas dakwaan serang, ugut pemandu 'rideshare'
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Amnesty International desak UK jangan tarik balik sekatan lesen eksport senjata ke Israel

Bernama
Bernama
14/01/2026
05:15 MYT
Amnesty International desak UK jangan tarik balik sekatan lesen eksport senjata ke Israel
Kumpulan hak asasi itu menyifatkan isyarat Kerajaan United Kingdom (UK) yang mungkin membenarkan semula penjualan senjata kepada Israel sebagai "amat membimbangkan." - Gambar/ Reuters
LONDON: Amnesty International UK pada Selasa mendesak Kerajaan Britain agar tidak "memberi ganjaran" kepada Israel dengan menarik balik sekatan lesen eksport senjata ketika genosid masih berterusan di Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi.

Ringkasan AI
  • Amnesty International UK mendesak Kerajaan Britain agar tidak membenarkan penjualan senjata kepada Israel semula selagi genosid berterusan di Gaza.
  • Kumpulan hak asasi itu menegaskan bahawa sekatan haram dan sistem aparteid masih wujud di Gaza, dan penjualan senjata UK mungkin digunakan dalam pembunuhan.
  • Lebih 71,000 orang terbunuh atau cedera dalam serangan Israel sejak Oktober 2023, walaupun gencatan senjata telah bermula pada 10 Oktober lepas.

Kumpulan hak asasi itu menyifatkan isyarat Kerajaan United Kingdom (UK) yang mungkin membenarkan semula penjualan senjata kepada Israel sebagai "amat membimbangkan."
"Jangan terpedaya dengan rundingan mengenai 'gencatan senjata' atau 'keamanan'. Genosid oleh Israel di Gaza belum terhenti. Pembunuhan masih berterusan," menurut kenyataan itu sambil menambah bahawa sekatan haram serta sistem aparteid masih dikekalkan.
Kenyataan itu menyusul selepas komen Setiausaha Perniagaan, Peter Kyle dalam temu bual bersama The Jewish Chronicle yang diterbitkan pada Isnin.
Dalam temu bual itu yang berlaku dalam Persidangan Tahunan Pergerakan Buruh Yahudi pada Ahad , Kyle berkata lesen eksport senjata UK ke Israel yang ditangguhkan sebelum ini boleh "dibuka semula" selepas fasa kedua perjanjian gencatan senjata selesai.
Beliau memberi komitmen untuk menilai semula rundingan perdagangan UK-Israel serta lesen eksport senjata selepas melihat apa yang disifatkannya sebagai "kemajuan ke arah keamanan."
Pada September 2024, Kerajaan Britain mengumumkan penggantungan 30 daripada 350 lesen eksport senjata ke Israel selepas semakan mendapati wujud "risiko jelas" bahawa beberapa eksport berkenaan boleh digunakan untuk melakukan atau memudahkan pencabulan serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Mei tahun lepas, Setiausaha Luar Britain ketika itu, David Lammy turut menggantung rundingan dengan Israel mengenai perjanjian perdagangan bebas baharu.
Amnesty UK mengingatkan bahawa UK tidak pernah mengharamkan sepenuhnya penjualan senjata dan laporan menunjukkan komponen jet pejuang F-35 terus dibekalkan, yang didakwa digunakan dalam genosid ke atas rakyat Palestin oleh Israel.
Kumpulan itu berkata langkah mengaitkan potensi penarikan balik sekatan itu dengan pertimbangan perdagangan, dan bukannya obligasi di bawah undang-undang antarabangsa serta keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), adalah "sangat bermasalah dan menunjukkan keutamaan sebenar kerajaan ini."
"Keputusan ini harus berlandaskan hak asasi manusia dan tanggungjawab undang-undang, bukan muslihat politik. UK tidak seharusnya memberi ganjaran kepada Israel ketika negara itu memperhebatkan pendudukan haram dan dasar aparteidnya," kata Amnesty International UK.
Lebih 71,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak maut serta lebih 171,000 yang lain cedera dalam serangan Israel sejak Oktober 2023 yang menyaksikan Gaza musnah sepenuhnya.
Meskipun gencatan senjata bermula pada 10 Okt lepas, Israel terus melancarkan serangan yang mengorbankan 447 rakyat Palestin dan mencederakan 1,246 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini di sini
Topic Berkaitan
#Genosid Gaza
#kekejaman israel
#UK
#penjualan senjata kepada israel
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami