CLEVELAND: COMEL!

Harimau Malaya atau lebih dikenali sebagai Pak Belang kebiasaanya cukup sinonim dengan rakyat Malaysia.

Malah, spesies itu menjadi lambang rasmi dalam Jata Negara Malaysia.

Lebih mengujakan apabila anak harimau tersebut buat pertama kali membuat kemunculan di Zoo Cleveland Metroparks, Amerika Syarikat (AS) pada Rabu.

Penampilan sulung anak Harimau Malaya yang dikenali sebagai Indrah itu merupakan salah seekor daripada tiga ekor anak harimau daripada dua subspesies terancam yang turut membuat penampilan pertama di zoo tersebut. 

Indrah yang dilahirkan pada Disember tahun lalu di zoo Tulsa, Oklahoma telah dipindahkan ke Cleveland setelah mendapat saranan dari Pelan Kelangsungan Hidup Spesies Harimau.

Sementara, dua lagi anak harimau yang turut menunjukkan raut wajah mereka ialah masing-masing 
Luka dan Anja.

Kedua-dua anak harimau itu yang merupakan spesies Siberia atau dikenali sebagai Amur juga dilahirkan pada Disember tahun lalu.

Dianggarkan hanya terdapat beberapa ratus spesies berkenaan di habitat asal - Gambar AP

Menurut pegawai zoo di AS, ketiga-tiga anak harimau itu akan dibesarkan bersama-sama untuk membantu mereka berkembang memandangkan ibu harimau berkenaan tidak lagi menjaga mereka.

Ketiga-tiga anak harimau itu dianggarkan seberat 13.6 kilogram (kg).

Spesies harimau Siberia boleh dijumpai di timur Rusia dan timur laut China dan dikategorikan sebagai spesies terancam.

Manakala, harimau Malaya yang dikategorikan sebagai sangat terancam boleh ditemukan di Semenanjung Malaysia.

Dianggarkan hanya terdapat beberapa ratus spesies berkenaan di habitat asal.



** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !