Skip to main content

Dunia

Ancaman bom palsu jejas ribuan sekolah di Itali, Scotland dan Ireland Utara

Seorang anggota polis berjalan melepasi orang ramai yang berkumpul di luar Sekolah G.B. Della Porta-G. Porzio susulan laporan ancaman bom yang menyasarkan sekolah-sekolah di seluruh Itali. - Foto REUTERS
Seorang anggota polis berjalan melepasi orang ramai yang berkumpul di luar Sekolah G.B. Della Porta-G. Porzio susulan laporan ancaman bom yang menyasarkan sekolah-sekolah di seluruh Itali. - Foto REUTERS

Ringkasan AI

  • Ribuan sekolah di Itali, Scotland dan Ireland Utara menerima ancaman bom palsu melalui e-mel, mencetuskan kebimbangan pada Rabu.
  • Pihak berkuasa mengesahkan tiada bukti ancaman sebenar ditemui, dan kebanyakan sesi persekolahan diteruskan selepas pemeriksaan keselamatan.
  • Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti sumber e-mel, dengan insiden disyaki sebagai serangan siber dan sebahagian gelombang ancaman palsu di Eropah.
Advertisement

ROM: Ribuan sekolah di Itali, Scotland dan Ireland Utara menerima ancaman bom menerusi e-mel pada Rabu, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan pihak sekolah walaupun pihak berkuasa percaya ia merupakan ancaman palsu.

Di Itali, kira-kira 6,300 sekolah menerima mesej berkenaan, manakala lebih 700 sekolah di Scotland dan Ireland Utara turut menerima ancaman serupa.

Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, berkata pemeriksaan yang dijalankan setakat ini tidak menemukan sebarang bukti wujudnya ancaman sebenar.

Advertisement

Beliau berkata, insiden itu dipercayai sebahagian daripada usaha untuk menimbulkan panik dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Beberapa sekolah di Itali dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga sebelum pihak berkuasa mengesahkan tiada tanda bahaya ditemui.

Advertisement

Di Scotland, Setiausaha Pendidikan Mairi McAllan berkata tiada risiko kepada orang awam, manakala pegawai khas jenayah siber sedang berusaha mengenal pasti sumber e-mel berkenaan.

Polis Scotland turut memaklumkan ancaman itu dinilai sebagai palsu sejurus diterima dan menegaskan tiada keperluan untuk mengosongkan sekolah atau menghalang murid hadir ke kelas hanya berdasarkan kandungan e-mel tersebut.

Menurut pihak berkuasa Itali, ancaman itu dipercayai berpunca daripada satu e-mel yang dihantar secara serentak kepada ribuan sekolah kerajaan, manakala sekolah swasta tidak terjejas.

Menteri Pendidikan Itali, Giuseppe Valditara, menyifatkan insiden itu berkemungkinan serangan siber dan bukannya ancaman keselamatan sebenar.

Beliau berkata kejadian itu dilihat sebagai sebahagian daripada gelombang ancaman palsu yang turut menyasarkan lapangan terbang, pasar raya dan hospital di beberapa negara Eropah sejak kebelakangan ini.

Walaupun ramai pelajar dipindahkan pada peringkat awal, amaran berkenaan segera ditarik balik selepas pemeriksaan keselamatan dijalankan dan kebanyakan sesi persekolahan diteruskan seperti biasa.

Menurut BBC, pihak berkuasa di ketiga-tiga wilayah itu masih menyiasat sama ada insiden berkenaan mempunyai kaitan antara satu sama lain atau dilakukan oleh pihak yang sama.

 

 

Must Watch Video

Advertisement