INTERNATIONAL
Ancaman gempa mega 'sekali dalam seabad'

Gempa 8.0 hingga 9.0 skala Richter di Nankai Trough berisiko mencetuskan gelombang tsunami dahsyat. - Foto Sinar Harian/Agensi
TOKYO: Gempa mega yang berlaku di Nankai Trough berisiko meragut sehingga 298,000 nyawa.
Anggaran disemak semula itu dikeluarkan pemerintah menerusi laporan terbaharu pada Isnin lalu di bawah langkah untuk mengurangkan impak bencana itu kepada kira-kira 10 peratus berbanding laporan pada 2012.
Angka itu bagaimanapun tidak mencapai sasaran untuk menurunkan angka kematian kepada kira-kira 80 peratus seperti ditetapkan dalam pelan asas 2014 untuk langkah pencegahan bencana yang menekankan keperluan tentang semakan strategi pemindahan dan penambahbaikan infrastruktur.
Ekonomi Jepun juga dijangka berdepan kerugian sehingga 270.3 trilion yen (RM8.04 trilion) sekiranya berlaku gempa mega di luar pantai Pasifik yang berisiko besar mencetuskan gelombang tsunami dahsyat.Negara matahari terbit itu antara salah sebuah negara sering dilanda gempa dan kira-kira 80 peratus ukuran gegaran itu boleh mencecah 8.0 hingga 9.0 skala Richter di sepanjang zon dasar laut bergelora, Nankai Trough.
Di bawah senario terburuk, kira-kira 12.3 juta penduduk atau satu peratus daripada populasi di Tokyo mungkin terpaksa dipindahkan jika gempa 9.0 skala Richter berlaku di Nankai Trough.
Ia terletak di luar pantai Pasifik di barat daya Jepun dan memanjang kira-kira 900 kilometer di mana plat Laut Filipina terbenam di bawah plat Eurasia.
Regangan tektonik yang terkumpul boleh mencetuskan gempa mega sekali dalam tempoh 100 hingga 150 tahun.
Pada tahun lalu, Tokyo mengeluarkan nasihat pertama berkaitan gempa bahawa terdapat potensi berlakunya gempa berkekuatan 9.0 skala Richter selepas gegaran 7.1 skala Richter yang terjadi di pinggir jurang itu.
Pada 2011, gempa kuat 9.0 skala Richter telah menghasilkan tsunami dahsyat hingga memberi impak besar kepada loji nuklear di timur laut negara itu selain meragut lebih 15,000 nyawa.
Sebagai langkah persediaan awal, Jepun akan menyemak semula pelan pencegahan bencana untuk menetapkan kawasan keutamaan tambahan berdasarkan zon risiko banjir yang diperluaskan.
Selain itu, pelan ketahanan nasional baharu untuk tahun fiskal 2026 hingga 2030 juga bakal dibangunkan bagi mempercepatkan pembangunan infrastruktur termasuk tembok konkrit gergasi sebagai penghalang tsunami.
Info
>Gempa mega itu dijangka menyebabkan gegaran di 764 majlis perbandaran di 31 daripada 47 wilayah dengan ukuran 6.0 skala Richter atau mencetuskan gelombang tsunami setinggi tiga meter.
>Laporan itu mengunjurkan 215,000 daripada 298,000 kematian disebabkan tsunami dengan anggaran hanya 20 peratus penduduk dapat dipindahkan serta-merta.
>Wilayah Tokai diramalkan paling teruk terjejas jika gempa berkekuatan 9.0 skala Richter berlaku pada waktu malam musim sejuk. Anggaran jumlah kematian paling tinggi adalah di bandar Shizuoka (101,000 orang) disusuli Miyazaki (33,000 orang) dan Mie (29,000 orang).
>Sebagai tambahan kepada anggaran 298,000 kematian langsung, kerajaan juga mengunjurkan buat pertama kali antara 26,000 dan 52,000 'kematian berkaitan bencana' yang disebabkan oleh situasi seperti keadaan kesihatan semakin merosot di tempat perlindungan pemindahan. - Sinar Harian memetik agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami