WASHINGTON: Seorang anggota Kongres Amerika Syarikat (AS) pada Rabu menggesa pentadbiran Trump supaya mendesak perluasan gencatan senjata di Asia Barat, sambil memberi amaran bahawa keganasan berterusan di Lubnan berisiko memburukkan konflik serta meningkatkan krisis kemanusiaan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Lubnan mesti dimasukkan dalam gencatan senjata yang rapuh ini,” kata Yassamin Ansari menerusi platform X.
Advertisement
Kenyataan beliau dibuat sejurus selepas serangan Israel ke atas Lubnan mengorbankan lebih 250 orang.
“Pengeboman dahsyat dan pembunuhan ratusan orang awam di Beirut dan tempat lain oleh Netanyahu perlu dihentikan serta-merta,” kata Ansari, merujuk Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.
Beliau menggesa Presiden Donald Trump dan Naib Presiden JD Vance menggunakan pengaruh mereka.
AS dan Iran pada Selasa mengumumkan gencatan senjata selama dua minggu yang bertujuan membuka jalan kepada perjanjian muktamad bagi menamatkan perang yang dilancarkan Washington dan Tel Aviv terhadap Tehran pada 28 Feb, mengorbankan serta mencederakan ribuan orang.
Walaupun pengantara utama, Pakistan berkata gencatan senjata itu merangkumi Lubnan, kedua-dua AS dan Israel menyatakan bahawa perjanjian itu tidak melibatkan negara berkenaan.
-- BERNAMA-ANADOLU