NAHA (JEPUN): Pendakwa raya pada Ahad mendakwa seorang anggota Marin Amerika Syarikat (AS) berusia 20 tahun atas tuduhan merompak dan membunuh seorang wanita di Wilayah Okinawa awal bulan ini.
Kes itu mencetuskan semula sentimen antipangkalan tentera dalam kalangan penduduk tempatan yang terbeban dengan penempatan sebahagian besar kemudahan tentera AS di Jepun, lapor Kyodo News.
Menurut pertuduhan, Devin Ballard yang ditempatkan di Pangkalan Udara Futenma didakwa membunuh wanita itu dengan menjerut lehernya menggunakan kabel telefon di sebuah hotel di Naha, ibu negeri wilayah kepulauan di selatan Jepun itu, sebelum melarikan beg galas mangsa yang mengandungi dompet pada 3 Okt.
Pertuduhan itu menyatakan bahawa mangsa meninggal dunia akibat sesak nafas.
Polis tempatan memaklumkan bahawa Ballard ditemukan berjalan bersendirian di bandar Okinawa pada lewat malam 3 Okt sebelum ditahan pada keesokan harinya kerana disyaki melakukan rompakan dan pembunuhan.
Timbalan Ketua Pejabat Pendakwa Raya Daerah Naha Hiroya Ishii berkata dalam satu kenyataan: "Dalam perbicaraan ini, kami mahu melakukan yang terbaik untuk mengemukakan hujah yang tepat dan membuktikan kes ini berdasarkan undang-undang dan bukti."
Susulan insiden itu, Gabenor Okinawa Genta Koja telah meningkatkan desakan terhadap kerajaan pusat untuk mengambil langkah pencegahan, ketika penduduk tempatan yang sedia ada berang dengan kes jenayah lampau yang dilakukan oleh anggota tentera Amerika, termasuk jenayah terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan, selain isu pencemaran serta bunyi bising.
Kerajaan Jepun telah mengemukakan bantahan keras kepada AS dan menggesanya memberikan kerjasama penuh dalam siasatan serta menguatkuasakan disiplin yang ketat dalam kalangan anggotanya.
Perdana Menteri Sanae Takaichi menyifatkan kes terbaru itu sebagai "jenayah kejam."
Ekoran penahanan Ballard, tentera AS di Okinawa pada 9 Okt telah mengenakan perintah berkurung selama 30 hari bermula tengah malam hingga 5 pagi.
Menurut Menteri Luar Toshimitsu Motegi, rundingan antara Jepun dan AS mengenai langkah pencegahan turut dimulakan bagi menilai semula keberkesanan dasar kebebasan pergerakan anggota tentera AS yang mengawal tingkah laku mereka di luar pangkalan di Jepun, serta rondaan bersama oleh tentera AS dan polis Jepun.
-- BERNAMA-KYODO