HAVANA: Operasi mencari dan menyelamat mangsa insiden letupan di sebuah hotel mewah di ibu negara Cuba masih diteruskan.

Setakat ini, beberapa mangsa yang maut  berjaya dikeluarkan dari runtuhan Hotel Saratoga menjadikan angka kematian rasmi akibat letupan di bangunan ikonik itu kepada 35.

Ketua Jabatan Bomba Cuba, Luis Guzmán memberitahu bahawa tiga lagi mayat ditemui pada Isnin ketika kru pencarian menggunakan anjing melalui serpihan di hotel berstruktur abad ke-19 itu.

Kementerian Kesihatan mengeluarkan laporan bahawa jumlah kematian meningkat kepada 35, dengan 20 mangsa yang cedera masih dirawat di hospital.

Hotel berkenaan yang mempunyai 96 bilik, bertaraf lima bintang di Old Havana, dibuka semula selepas ditutup selama dua tahun.

Letupan berlaku susulan kebocoran gas, menyebabkan serpihan bangunan bertaburan di atas jalan.

Beberapa struktur bangunan berdekatan juga telah rosak, termasuk Teater Marti yang bersejarah dan gereja Calvary Baptist.