MADRID: Parlimen Sepanyol pada Khamis meluluskan pakej dasar perumahan bagi menangani krisis perumahan yang semakin meruncing di negara itu, sehari selepas mogok umum di seluruh negara dan protes besar-besaran berhubung peningkatan kos sara hidup, lapor Xinhua.
Menurut penyiar awam Sepanyol RTVE, Jawatankuasa Tetap Kongres Perwakilan meluluskan dekri itu dengan majoriti tipis 35 undi berbanding 34, dengan undi Parti Nasionalis Basque (PNV) menjadi penentu.
Langkah yang diluluskan itu termasuk melanjutkan perlindungan daripada pengusiran sehingga 2030 bagi penyewa yang terdedah kepada kesulitan dan tidak mempunyai tempat tinggal alternatif, membenarkan kontrak sewaan dilanjutkan sehingga dua tahun, mengehadkan kenaikan sewa tahunan sehingga akhir 2027 serta memperkenalkan insentif cukai kepada pemilik rumah yang menurunkan kadar sewa.
Bagaimanapun, satu dekri berasingan yang mencadangkan pelanjutan kontrak sewaan tanpa had tempoh ditolak.
Mogok umum di seluruh negara pada Rabu menyaksikan demonstrasi di bandar utama termasuk Madrid, Barcelona dan Valencia, dengan penunjuk perasaan menuntut akses lebih luas kepada perumahan mampu milik serta kenaikan gaji.
Pengundian itu berlangsung sehari sebelum kempen rasmi pilihan raya dijadual bermula pada Jumaat, menjelang pilihan raya umum Sepanyol pada 29 Nov.
Kedua-dua dekri berkenaan diluluskan oleh kerajaan pada 6 Okt, sehari selepas Perdana Menteri Pedro Sanchez mengumumkan pilihan raya awal susulan penolakan Parlimen terhadap langkah perumahan terdahulu.
-- BERNAMA-XINHUA