Skip to main content

Malaysia

Ancaman siber turut sasar pemikiran, persepsi masyarakat

Ahmad Sauffiyan menyarankan agar pendidikan literasi media dan keselamatan siber diterapkan seawal peringkat sekolah rendah bagi melahirkan generasi yang celik digital dan tidak mudah terperdaya. - Gambar hiasan
Ahmad Sauffiyan menyarankan agar pendidikan literasi media dan keselamatan siber diterapkan seawal peringkat sekolah rendah bagi melahirkan generasi yang celik digital dan tidak mudah terperdaya. - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Landskap ancaman keselamatan siber kini tidak lagi terbatas kepada pencerobohan sistem komputer atau ketirisan data semata-mata, sebaliknya beralih kepada serangan yang menyasarkan persepsi dan psikologi masyarakat menerusi manipulasi maklumat palsu.

Pensyarah Komunikasi Sosial merangkap Penganalisis Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Ahmad Sauffiyan Abu Hasan berkata kepesatan teknologi, khususnya kecerdasan buatan (AI) menjadikan ancaman berkenaan semakin kompleks dan berpotensi mempengaruhi keyakinan masyarakat terhadap sesuatu maklumat.

Beliau menjelaskan taktik serangan sedemikian berupaya memanipulasi sentimen awam dengan membina naratif palsu atau mencetuskan semula ketegangan terhadap isu sensitif dalam masyarakat sehingga menyebabkan keresahan umum.

Advertisement

“Setiap negara di dunia ini ada isu dalaman yang memang wujud tetapi apabila ada pihak membina naratif negatif, ia boleh mencetuskan isu itu menjadi sesuatu yang besar,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk “Ancaman Keselamatan Siber Semakin Rencam” terbitan Bernama TV.

Bagi membendung ancaman berkenaan, Ahmad Sauffiyan menyarankan agar pendidikan literasi media dan keselamatan siber diterapkan seawal peringkat sekolah rendah bagi melahirkan generasi yang celik digital dan tidak mudah terperdaya.

Advertisement

“Antara yang boleh kita lakukan adalah bermula dari awal, ketika mereka masih muda untuk mendedahkan mereka kepada media, kandungan media, kepentingannya dan apa yang sepatutnya mereka boleh lakukan,” katanya.

Beliau berkata cabaran penyebaran berita palsu kini bertambah rumit apabila pengguna media sosial berkongsi sesuatu kandungan tanpa mengesahkan kesahihannya, sekali gus berpotensi memperluas penyebaran maklumat berkenaan melalui algoritma platform digital.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar membudayakan amalan menyemak kesahihan maklumat menerusi saluran rasmi atau sumber berautoriti sebelum mempercayai mahupun menyebarkannya, terutama kandungan yang dijana menggunakan teknologi AI.

Pada masa sama, Ahmad Sauffiyan mengingatkan ibu bapa supaya lebih proaktif memantau aktiviti digital anak-anak, termasuk platform permainan video dalam talian yang kini turut menyediakan ruang sembang interaktif tanpa tapisan.

Beliau berkata keupayaan negara menghadapi ancaman siber bukan sahaja bergantung kepada kecanggihan infrastruktur keselamatan digital tetapi turut memerlukan masyarakat yang mampu menilai maklumat secara kritis dan tidak mudah dipengaruhi propaganda.

Menurut Ahmad Sauffiyan, daya tahan negara mendepani ancaman siber moden bukan sekadar bergantung kepada kekukuhan infrastruktur teknologi maklumat semata-mata, sebaliknya menuntut benteng pertahanan minda masyarakat itu sendiri.

“Kita perlu wujudkan gatekeeper dalam fikiran kita untuk menapis sesuatu perkara yang negatif,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement