Skip to main content
Advertisement

Dunia

Angka korban gempa bumi Colombia meningkat kepada 234

A soldier keeps watch as rescue efforts continue at the site of a damaged building following an earthquake, in Cali, Colombia, August 11, 2026. REUTERS/Raquel Cunha
Seorang anggota tentera mengawal keadaan ketika operasi mencari dan menyelamat diteruskan di lokasi bangunan yang rosak akibat gempa bumi di Cali, Colombia. - Foto REUTERS
Advertisement

ISTANBUL: Angka korban akibat gempa bumi berukuran 7.4 magnitud yang melanda barat Colombia meningkat kepada 234 orang, menurut laporan Persatuan Bandar Raya Ibu Negeri Colombia (Asocapitales), lapor Anadolu Ajansi.

Menurut laporan itu, seramai 1,310 orang cedera manakala 153 bangunan runtuh, di samping operasi mencari dan menyelamat serta penilaian kerosakan masih diteruskan.

Cali merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan 95 orang, diikuti Pereira seramai 90 orang. 

Kematian turut dilaporkan di Quibdo dan Manizales.

Di Quibdo, sembilan kematian direkodkan selain kerosakan pada kediaman serta infrastruktur pendidikan, kesihatan dan lapangan terbang, termasuk Universiti Teknologi Choco dan lapangan terbang bandar itu.

Sementara itu, pihak berkuasa memaklumkan 86 orang berjaya diselamatkan di Cali selepas gempa berkenaan.

Data awal pihak berkuasa bandar itu merekodkan 239 orang dilaporkan terperangkap, 949 cedera dan 95 maut. 

Sebanyak 45 struktur turut dilaporkan runtuh sepenuhnya atau sebahagian, manakala 93 bangunan dan kediaman mengalami kerosakan.

Operasi mencari dan menyelamat diselaraskan menerusi sebuah pusat arahan di Cali dengan pasukan khas dari bandar lain tiba bagi memperkukuh operasi, menurut pihak berkuasa.

Asocapitales kini bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengenal pasti keperluan utama serta memudahkan tindak balas kecemasan, termasuk menjalankan penilaian struktur dan tahap kerosakan di bandar paling terjejas.

Persatuan itu turut menggesa penduduk supaya tidak memasuki bangunan yang jelas mengalami kerosakan sehingga pakar mengesahkan struktur berkenaan selamat.

Menteri Kewangan Miguel Gomez berkata bahawa kerajaan bercadang melaksanakan langkah darurat ekonomi bagi memperkukuh usaha pemulihan, menurut Bloomberg.

Kementerian Pengangkutan pula memaklumkan lapangan terbang di Cali, Quibdo dan Armenia kini kembali beroperasi selepas ditutup susulan gempa.

Sementara itu, Presiden Abelardo De La Espriella tiba di Pereira untuk bertemu Datuk Bandar Mauricio Salazar di Pusat Arahan Bersepadu sebelum meneruskan perjalanan ke Manizales, menurut media tempatan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menzahirkan rasa dukacita atas bencana itu serta solidariti terhadap rakyat Colombia, sambil menegaskan bahawa PBB sedang menyelaras rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi menyokong tindak balas kecemasan kerajaan.

“Saya mendoakan semua yang terjejas segera pulih ketika laporan mengenai kediaman runtuh dan kerosakan besar lain terus diterima, sementara pihak berkuasa berusaha menilai keseluruhan impak bencana,” katanya.

Kerajaan Colombia mengisytiharkan situasi bencana nasional bagi memperkukuh mobilisasi serta penyelarasan keupayaan institusi dalam menangani kecemasan itu.

Gempa bumi berkenaan berlaku pada 7.34 pagi waktu tempatan (1234 GMT), dengan pusat gempa terletak kira-kira lima kilometer di timur bandar San Jose del Palmar, menurut data Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

USGS memaklumkan gempa itu berlaku pada kedalaman 107 kilometer.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement