ISTANBUL: Angka korban akibat gempa bumi bermagnitud 7.4 yang melanda Colombia meningkat kepada 273 orang manakala 3,824 lagi cedera, dengan 40,753 keluarga terjejas dan 377 individu dilaporkan hilang, lapor Anadolu Ajansi yang memetik Pengarah Unit Kebangsaan Pengurusan Risiko Bencana (UNGRD) David Tamayo pada Khamis.
Gempa bumi itu melanda barat Colombia pada Isnin, menyebabkan kemusnahan meluas di beberapa bandar serta merosakkan kediaman, sekolah, hospital dan infrastruktur kritikal lain.
Pasukan penyelamat menjalankan pencarian mangsa yang terselamat di bawah runtuhan bangunan, manakala pihak berkuasa memberi amaran bahawa tempoh untuk menemukan mangsa masih hidup semakin singkat.
Tamayo berkata pasukan petugas geospatial yang diketuai kerajaan pusat bekerjasama dengan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) serta International Charter Space and Major Disasters, sebuah inisiatif antarabangsa yang menyediakan data satelit ketika berlaku bencana besar, bagi memantau kawasan terjejas menggunakan teknologi satelit.
Beliau berkata 166 imej satelit definisi tinggi telah diproses, manakala Airbus menyumbangkan imej satelit beresolusi ultra tinggi bagi Cali, Cartago, Manizales dan Pereira.
Tamayo berkata data satelit itu akan membantu pihak berkuasa menilai kerosakan dengan lebih tepat serta menjadi panduan dalam tindak balas kecemasan.
Bencana itu mendorong tindak balas antarabangsa, dengan beberapa negara menawarkan bantuan mencari dan menyelamat bagi menyokong usaha tindak balas kecemasan.
Gempa bumi itu memberi tekanan besar terhadap agensi tindak balas kecemasan Colombia ketika operasi mencari dan menyelamat serta bantuan diteruskan di kawasan paling teruk terjejas.
Pihak berkuasa turut menangani 30 kebakaran hutan di wilayah Tolima, sekali gus semakin menguji kemampuan pasukan kecemasan.
-- BERNAMA-ANADOLU