Skip to main content

Dunia

Angka korban gempa Colombia meningkat kepada 181, ratusan masih hilang

Rescue workers cut through debris as they search for survivors the day after an earthquake struck Cali, Colombia, Tuesday, Aug. 11, 2026. (AP Photo/Ivan Valencia)
Petugas penyelamat memotong runtuhan bangunan ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang terselamat sehari selepas gempa bumi melanda Cali, Colombia. - Foto AP
Advertisement

BOGOTA: Angka korban akibat gempa bumi kuat berukuran 7.4 magnitud yang melanda Colombia pada Isnin meningkat kepada 181 orang, manakala hampir 200 lagi masih hilang ketika operasi mencari dan menyelamat diteruskan di beberapa kawasan yang terjejas.

Presiden Abelardo de la Espriella memaklumkan hampir 2,600 orang cedera dalam bencana itu, selain lebih 1,100 kediaman musnah dan lebih 8,000 lagi rosak.

Bandar Cali dan Pereira antara kawasan yang paling teruk terjejas.

Di Pereira, pihak bomba mengesahkan 79 kematian direkodkan setakat ini, manakala Cali melaporkan 95 mangsa maut.

Di Cali, pusat operasi bersepadu ditubuhkan bagi menyelaras usaha menyelamat.

Datuk Bandar Alejandro Eder berkata, 239 individu masih dipercayai terperangkap di bawah runtuhan, manakala 949 orang cedera.

Sebanyak 45 bangunan dilaporkan runtuh sepenuhnya atau sebahagiannya.

Sebahagian tingkat atas sebuah hospital di bandar itu turut runtuh, menyebabkan beberapa pesakit terperangkap.

Dalam kejadian berasingan di kawasan Calima, empat kanak-kanak maut selepas sebahagian bangunan Sekolah Gimnasio Calima runtuh, manakala puluhan lagi mengalami kecederaan.

Ramai penduduk di Cali dan Pereira terpaksa bermalam di kawasan terbuka berikutan kerosakan kediaman serta kebimbangan terhadap kemungkinan runtuhan susulan.

Perkhidmatan Geologi Colombia memaklumkan lebih 70 gegaran susulan direkodkan sejak gempa utama berlaku, termasuk dua gegaran berukuran 3.6 magnitud pada awal Selasa.

Bagi mempercepatkan operasi mencari mangsa, pihak berkuasa Pereira melaksanakan hari tanpa kenderaan, manakala beberapa kawasan lain mengenakan perintah berkurung bagi mengelakkan kejadian rompakan.

Sementara itu, masyarakat antarabangsa terus menghulurkan bantuan kepada Colombia.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan sokongan terhadap usaha tindak balas negara itu, manakala Amerika Syarikat mengumumkan bantuan berjumlah AS$15.5 juta bagi menyokong operasi bantuan dan pemulihan pasca bencana.

Selain itu, Ecuador, Brazil, El Salvador dan Venezuela turut menawarkan bantuan kepada Colombia ketika usaha mencari mangsa yang masih hilang diteruskan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement