DUNIA
Angka korban insiden tembakan di pusat agihan Gaza meningkat kepada hampir 50 orang

Hampir 50 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 200 lagi cedera pada Ahad selepas tentera Israel melepaskan tembakan ke arah orang awam yang sedang mendapatkan bantuan kemanusiaan di Al-Mawasi, barat Rafah di selatan Semenanjung Gaza. - Foto AP
ANKARA: Hampir 50 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 200 lagi cedera pada Ahad selepas tentera Israel melepaskan tembakan ke arah orang awam yang sedang mendapatkan bantuan kemanusiaan di Al-Mawasi, barat Rafah di selatan Semenanjung Gaza, menurut Kementerian Kesihatan wilayah itu.
Ringkasan AI
- Sekurang-kurangnya 49 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 300 cedera akibat tembakan tentera Israel ketika orang awam mendapatkan bantuan kemanusiaan di Al-Mawasi dan kawasan lain di Gaza.
- Tentera Israel dilaporkan melepaskan tembakan dan menggugurkan bahan letupan dari dron berhampiran pusat agihan bantuan, menyebabkan kesukaran operasi menyelamat dan perpindahan mangsa.
- Pejabat Media Kerajaan Gaza menuduh Israel menyalahgunakan bantuan sebagai alat perang untuk menekan rakyat Palestin yang kelaparan.
Saksi turut memaklumkan bahawa ketika orang ramai menghampiri lokasi itu, kenderaan tentera Israel melepaskan tembakan dan dron menggugurkan bahan letupan, menyebabkan jumlah korban yang tinggi.
Seorang pegawai perubatan menyifatkan keadaan di sekitar pusat agihan bantuan itu sebagai "amat berbahaya," sambil menjelaskan bahawa ambulans menghadapi kesukaran untuk sampai ke lokasi kerana tembakan yang berterusan. Sebahagian mangsa dipindahkan menggunakan pedati.
Pada masa sama, saksi berkata tentera Israel turut melepaskan tembakan ke arah orang awam yang menghampiri sebuah lagi pusat bantuan Amerika berhampiran Koridor Netzarim di tengah Gaza.
Menurut sumber perubatan di Hospital Al-Awda di kem pelarian Nuseirat, sekurang-kurangnya seorang rakyat Palestin terbunuh dan 20 lagi cedera apabila tentera Israel melepaskan tembakan ke arah orang ramai berhampiran kem pelarian Bureij.
Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, sekurang-kurangnya 49 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 305 lagi cedera akibat tembakan Israel berhampiran pusat agihan bantuan sejak mekanisme pengagihan bantuan Israel bermula pada 27 Mei.
Pejabat itu menuduh Israel "menggunakan bantuan kemanusiaan secara sistematik dan berniat jahat sebagai senjata perang untuk memeras ugut rakyat yang kelaparan dan memaksa mereka berkumpul di kawasan terbuka yang terdedah kepada serangan maut."
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami