Angka korban kebakaran bar di Switzerland meningkat kepada 41

Jambangan bung diletakkan di pintu masuk bar dan lounge 'Le Constellation', lokasi kebakaran yang tercetus semasa sambutan Tahun Baharu dan mengorbankan 40 nyawa serta mencederakan lebih 100 orang. - Foto AP
ZURICH: Seorang remaja yang cedera dalam kebakaran maut di sebuah bar di resort ski Switzerland pada malam Tahun Baharu telah meninggal dunia di hospital, menjadikan jumlah korban tragedi itu meningkat kepada 41 orang, menurut pendakwa raya tempatan.
Pendakwa raya wilayah Wallis, Beatrice Pilloud, berkata dalam satu kenyataan bahawa mangsa berusia 18 tahun itu, seorang warganegara Switzerland, meninggal dunia di sebuah hospital di Zurich pada Sabtu akibat kecederaan parah yang dialaminya dalam insiden berkenaan.
“Seorang lelaki warga Switzerland berusia 18 tahun meninggal dunia di hospital di Zurich pada 31 Januari,” kata Pilloud, sambil menambah bahawa tiada maklumat lanjut akan didedahkan pada peringkat ini.
Kebakaran itu tercetus di sebuah bar yang sesak di resort ski Crans-Montana pada malam sambutan Tahun Baharu, mencetuskan api yang merebak dengan pantas dan menyebabkan suasana panik ketika pengunjung cuba menyelamatkan diri.
Tragedi berkenaan sebelum ini telah meragut nyawa 40 orang, kebanyakannya golongan muda, selain menyebabkan puluhan yang lain cedera parah.
Beberapa mangsa dilaporkan mengalami kecederaan melecur serius dan komplikasi akibat terhidu asap.
Pihak berkuasa Switzerland masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran serta menilai tahap pematuhan keselamatan premis hiburan tersebut.
Kebakaran itu dianggap antara insiden paling buruk dalam sejarah moden Switzerland dan telah mencetuskan perbincangan meluas mengenai aspek keselamatan awam di lokasi hiburan tertutup.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


