Ringkasan AI
- Lebih 125,000 murid Tabika KEMAS di seluruh negara kini menguasai hafazan al-Quran melalui program Pra-Tahfiz yang diperkenalkan jabatan berkenaan.
- Program ini menumpukan hafazan juzuk ke-30 dan surah lazim, serta memberi manfaat kepada murid dan tenaga pengajar KEMAS.
- Cadangan menyambung Lebuhraya Pantai Barat dari Banting ke Johor melalui Melaka akan dibawa ke Kabinet untuk kelulusan.
ALOR GAJAH: Lebih 125,000 murid Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di seluruh negara kini mula menguasai hafazan ayat suci al-Quran menerusi inisiatif program Pra-Tahfiz yang diperkenalkan jabatan berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata inisiatif yang memberi tumpuan kepada hafazan ayat al-Quran dalam juzuk ke-30 serta surah lazim lain itu menjadi platform terbaik untuk melahirkan modal insan yang seimbang dari segi akademik dan kerohanian.
Beliau berkata pendekatan itu penting bagi memastikan generasi muda bukan sahaja mengejar kemajuan duniawi, malah berpegang teguh kepada tuntutan ukhrawi seawal usia kanak-kanak.
"Kita mahu memperimbangkan antara soal duniawi dengan ukhrawi, soal dunia dan akhirat. Biar ibadah kita untuk akhirat, maka ini dilaksanakan KEMAS dalam usaha membentuk sebuah negara aman damai dan mendapat keampunan Allah SWT," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Gerakan Massa (GEMA) Peringkat Negeri Melaka di Dewan FELCRA Ramuan Cina, Lubok China, di sini yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut memuji keberkesanan program itu yang disifatkannya memberi 'dua faedah' serentak, bukan sahaja kepada murid malah kepada tenaga pengajar KEMAS itu sendiri.
"Bukan sahaja anak-anak itu hafal al-Quran, malah guru-guru KEMAS juga turut menghafal ayat-ayat penting dalam juzuk 30 serta surah-surah pilihan seperti Surah ar-Rahman, al-Waqi'ah, Yasin dan as-Sajdah.
"Bagaimana anak-anak kecil kita hendak hafal kalau gurunya tidak hafal? Usaha guru-guru dan sokongan ibu bapa ini amat membanggakan," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata cadangan menyambung jajaran Lebuhraya Pantai Barat (WCE) dari Banting, Selangor hingga ke Johor menerusi Melaka akan dibawa ke Kabinet untuk kelulusan.
Beliau berkata penyambungan jajaran itu bertujuan menyediakan laluan alternatif, sekali gus membantu menyuraikan kesesakan trafik di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
Menurut beliau, projek berkenaan penting memandangkan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) kini sering mengalami kesesakan luar biasa terutama pada setiap hujung minggu selain mempunyai potensi besar yang akan memberi manfaat terus kepada rakyat termasuk penduduk di Melaka.
-- BERNAMA