Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen kerajaan membuka peluang pelajar institusi pondok melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.
- Kerajaan akan terus memperbaiki sistem pendidikan pondok dan membaik pulih pondok-pondok untuk keselesaan pelajar serta pengiktirafan institusi tersebut.
- Anwar menyampaikan sumbangan RM200,000 kepada Madrasah Ar-Rahmaniah Ad-Diniah Pondok Lubuk Tapah dan menunaikan solat Maghrib bersama penduduk setempat.
PASIR MAS: Kerajaan komited membuka laluan dan memberi peluang kepada pelajar institusi pondok untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi hingga ke universiti, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan sistem pendidikan pondok tidak terpinggir sebaliknya diiktiraf dan diperkasa agar penuntutnya mampu bersaing dalam arus pembangunan negara tanpa mengorbankan asas keilmuan Islam.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucapan ringkas selepas menunaikan solat Maghrib di Madrasah Ar-Rahmaniah Ad-Diniah Pondok Lubuk Tapah di sini malam ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Dalam pada itu, beliau berkata institusi pondok bukan sekadar pusat pengajian dan penyebaran ilmu agama sebaliknya memainkan peranan lebih luas sebagai benteng mempertahankan akidah serta tunjang kekuatan ummah.
Perdana Menteri berkata warisan keilmuan Islam itu bukan sahaja mendidik masyarakat malah memainkan peranan penting dalam memelihara nilai agama, jati diri dan keharmonian negara.
Beliau juga berkata kerajaan tidak akan sesekali meminggirkan kepentingan institusi pondok sebaliknya akan terus memperbaiki sistem pendidikan selain membaik pulih pondok-pondok di negara ini untuk memberi keselesaan kepada pelajar.
Terdahulu, Anwar menyampaikan sumbangan berjumlah RM200,000 kepada Madrasah Ar-Rahmaniah Ad-Diniah Pondok Lubuk Tapah di sini dan menunaikan solat Maghrib bersama dengan lebih 100 penduduk di sekitar kampung berkenaan.
-- BERNAMA