Skip to main content

Dunia

Angka korban lepasi 900 orang, penularan Ebola meningkat di DR Congo

kecemasan, congo
Jumlah kes yang disahkan mencecah 2,344 kes, termasuk 930 kematian, di tengah-tengah penularan yang berterusan dalam kalangan komuniti. - Gambar fail/AP
Advertisement

KIGALI: Angka kematian akibat penularan wabak virus Ebola di Republik Demokratik Congo (DR Congo) kini melebihi 900 orang, menurut data terkini yang dikeluarkan pihak berkuasa kesihatan negara itu pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi.

Data Kementerian Kesihatan menunjukkan jumlah kes yang disahkan mencecah 2,344 kes, termasuk 930 kematian, di tengah-tengah penularan yang berterusan dalam kalangan komuniti.

Kira-kira 724 pesakit kini diasingkan atau dirawat di hospital, manakala 466 orang telah sembuh.

Kementerian itu memaklumkan kadar kematian kes meningkat kepada 39.7 peratus, manakala kadar pengesanan kontak berada pada tahap 85.8 peratus.

Virus berkenaan telah menjejaskan lima wilayah - Haut-Uele, Ituri, Kivu Utara, Kivu Selatan, dan Tshopo - sejak wabak itu diisytiharkan pada 15 Mei.

Ituri kekal sebagai pusat utama penularan wabak yang disebabkan oleh strain virus Bundibugyo, dengan penularan yang berterusan.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC) pada Isnin memaklumkan petugas barisan hadapan, pihak berkuasa kesihatan dan rakan kerjasama terus berganding bahu untuk mengawal penularan wabak berkenaan.

Ketua Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Kecemasan Africa CDC, Yap Boum berkata dalam satu mesej video bahawa terdapat harapan bahawa dalam "beberapa minggu atau bulan, kita akan melihat penurunan keluk penularan" hasil usaha bersama kerajaan dan rakan kerjasama.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement