Angka korban nahas kereta api di Sepanyol meningkat kepada 45

Setakat ini, sebanyak 43 mangsa telah dikenal pasti, termasuk 40 warga Sepanyol, masing-masing seorang warga Rusia, Jerman dan Maghribi. - Gambar/ Reuters
MADRID: Angka korban nahas kereta api pada Ahad di selatan Sepanyol meningkat kepada 45 orang selepas pegawai Pengawal Awam menemukan dua lagi mayat pada Khamis, lapor Xinhua.
Mayat berkenaan ditemukan selepas pihak berkuasa meluaskan radius pencarian di sekitar lokasi nahas berhampiran Bandar Adamuz, dalam Wilayah Cordoba.
Kira-kira 200 ejen Pengawal Awam terlibat dalam operasi itu dengan bantuan anjing pengesan, dron dan peralatan inframerah.
Kemalangan itu berlaku pada Ahad apabila sebuah kereta api yang membawa 317 penumpang bagi laluan Malaga-Madrid tergelincir atas sebab yang masih belum dikenal pasti berhampiran Adamuz, kira-kira 20 kilometer dari Cordoba.
Kereta api yang tergelincir itu kemudian melanggar sebuah kereta api berkelajuan tinggi yang sedang dalam perjalanan di landasan bersebelahan dari Madrid ke Huelva, menyebabkan kereta api kedua turut tergelincir.
Setakat ini, sebanyak 43 mangsa telah dikenal pasti, termasuk 40 warga Sepanyol, masing-masing seorang warga Rusia, Jerman dan Maghribi. Kebanyakan mangsa merupakan penumpang kereta api yang menuju ke Huelva.
Pihak berkuasa pada Rabu mengumumkan bahawa satu majlis pengebumian negara bagi mangsa nahas akan diadakan pada 31 Jan. Siasatan mengenai punca kemalangan masih diteruskan.
Dalam perkembangan berkaitan, sebuah kereta api penumpang bagi laluan Cartagena-Los Nietos merempuh sebuah kren di Alumbres, berhampiran bandar tenggara Cartagena pada Khamis, menyebabkan beberapa orang mengalami kecederaan ringan, menurut perkhidmatan kecemasan.
Ia merupakan kemalangan kereta api keempat di Sepanyol dalam tempoh kurang seminggu.
Terdahulu pada Selasa, dua insiden rel dilaporkan di wilayah timur laut Catalonia.
Seorang pemandu maut dan sekurang-kurangnya 37 penumpang cedera apabila sebuah tembok runtuh lalu menghempap kereta api komuter berhampiran Bandar Gelida.
Dalam kejadian berasingan berhampiran Blanes, sebuah kereta api tergelincir akibat runtuhan batu.
Pihak berkuasa tempatan berkata kedua-dua kemalangan itu berkemungkinan besar berpunca daripada hujan lebat yang melanda sebahagian wilayah berkenaan sejak beberapa hari kebelakangan ini.
--BERNAMA-XINHUA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


