Angka korban tanah runtuh Bandung Barat meningkat kepada 16 orang

Angka korban akibat kejadian tanah runtuh di Bandung Barat, Jawa Barat meningkat kepada 16 orang, dengan sembilan mangsa berjaya dikenal pasti setakat ini. - Gambar fail/REUTERS
JAKARTA: Angka korban akibat kejadian tanah runtuh di Bandung Barat, Jawa Barat meningkat kepada 16 orang, dengan sembilan mangsa berjaya dikenal pasti setakat ini.
Ringkasan AI
- Korban tanah runtuh di Bandung Barat meningkat kepada 16 orang, dengan sembilan mangsa dikenal pasti setakat ini.
- Kejadian tanah runtuh disebabkan hujan lebat melanda Kampung Pasirlangu, menimbus kawasan perumahan.
- Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka melawat lokasi kejadian, sementara pihak berkuasa menyediakan pusat perlindungan, Dana Tunggu Hunian, dan penempatan semula bagi penduduk terjejas.
Kejadian tanah runtuh yang berpunca daripada hujan lebat itu melanda Kampung Pasirlangu kira-kira pukul 2.30 pagi Sabtu, sehingga menimbus beberapa kawasan perumahan.
Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka melawat lokasi kejadian pada pagi Ahad dengan diiringi Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Suharyanto dan Ketua Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas), Mohammad Syafii.
Suharyanto dalam satu kenyataan berkata berdasarkan data awal, seramai 232 penduduk yang dipindahkan kini berada di pusat perlindungan sementara.
Pihak berkuasa telah menyediakan tiga skim untuk penduduk yang terjejas, termasuk pusat perlindungan sementara, Dana Tunggu Hunian (DTH) dan penempatan semula ke kawasan yang lebih selamat, katanya.
"Komuniti yang tidak terjejas secara langsung tetapi berada di lokasi yang berisiko turut akan diambil tindakan susulan. Walaupun mereka tidak terkesan oleh tanah runtuh kali ini, mereka tetap perlu dipindahkan," katanya.
Sementara itu, Mohammad Syafii berkata lebih 250 anggota yang dilengkapi peralatan khas telah dikerahkan bagi mempercepatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


