AYER KEROH: Adly Zahari mengakui sudah menjangkakan kekalahannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka itu berkata, kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) meletakkan beliau dalam keadaan ketinggalan sejak awal.
Menurutnya, perkiraan awal menunjukkan beliau ketinggalan sekitar 5,000 hingga 6,000 undi susulan kerjasama kedua-dua gabungan berkenaan.
"Saya tak terkejut kerana saya tahu daripada awal saya di belakang agak jauh. Jadi saya cubalah kejar 14 hari kan? Tapi tak sempat kejar," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi, calon PN, Muhammad Ridzuan Mohd Shariff mendahului persaingan di Bukit Katil dengan memperoleh 14,851 undi berbanding Adly yang meraih 8,382 undi.
Ridzuan mendahului dengan majoriti sementara 6,469 undi.
Dua lagi pencabar, Aliza Che Amran daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama) memperoleh 1,070 undi, manakala calon Bebas, Abu Bakar Sabudin meraih 127 undi.
Keputusan itu bagaimanapun masih tertakluk kepada pengesahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Mengulas lanjut, Adly berkata, beliau menghormati keputusan pengundi Bukit Katil meskipun pernah berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan.
Katanya, keputusan tersebut mencerminkan pilihan rakyat yang perlu diterima dalam sistem demokrasi.
“Saya sebagai yang pernah berkhidmat di Bukit Katil, saya hormati keputusan rakyat kerana mereka ada keputusan mereka sendiri untuk buat pilihan," katanya lagi.