AWAL bulan ini, seorang lelaki Inggeris mengejutkan media sosial dan menjadi bualan khalayak di Eropah apabila menunjukkan hasil tangkapannya dari sebuah tasik di Perancis.

Menurut laporan media tempatan, pemancing itu, Andy Hackett, telah ‘bertarung’ selama 25 minit di Tasik Bluewater untuk menaikkan seekor ikan emas yang seberat 30 kilogram.

Ikan emas yang dipercayai baka hibrid dengan ikan koi itu mendapat gelaran ‘The Carrot’ kerana warnanya yang jingga keemasan. Ia adalah ikan yang kedua terbesar pernah ditangkap di kawasan tasik dalam wilayah Champagne.

“Jika ikan biasa, susah untuk melihatnya di bawah permukaan air, tapi The Carrot ini sangat terang warnanya… anda tidak akan terlepas pandang.

“Ikan ini sangat diburu. Tidak ramai yang berjaya menangkapnya,” kata Hacket kepada BBC.

Tasik Bluewater sering menjadi pilihan pemancing kerana di kawasan itu, mereka berpeluang mendapat hasil tangkapan yang ‘besar’ iaitu ikan yang seberat sekitar 20 kilogram hinggalah kepada 40 kilogram seekor.

Namun, kewujudan The Carrot di Tasik Bluewater sebenarnya bukanlah satu misteri.

“Kami melepaskan The Carrot di tasik itu kira-kira 20 tahun lalu sebagai satu tarikan berbeza buat pemancing. Sejak itu, ia terus membesar dan jarang muncul.

“Ia bukanlah ikan yang terbesar di tasik itu, namun tidak dinafikan ia paling menyerlah," ujar Pengurus Jabatan Perikanan, Jason Cowler kepada media.

Hackett mengabadikan kenangan bersama The Carrot. - Facebook Bluewater Lakes

The Carrot telah ditimbang beratnya sebelum dilepaskan semula ke tasik itu. Namun, ia diberi rawatan sewajarnya terlebih dahulu bagi sebarang kecederaan. Difahamkan, itu bukan kali pertama ada pemancing yang berjaya 'menundukkan' The Carrot.

Ikan emas domestik secara purata memiliki berat kurang daripada setengah kilogram, namun spesies itu boleh terus membesar bergantung kepada persekitarannya.

Jika diberi ruang yang luas, diet yang mencukupi serta keadaan kualiti air yang terbaik, spesies ikan karp termasuk ikan emas dan koi, mempunyai potensi untuk terus membesar. Faktor itulah yang menjelaskan saiz The Carrot.

Selalunya, ikan emas yang besar tidak lagi disukai pemilik haiwan peliharaan. Memeliharanya di akuarium di rumah mungkin menjadi sesuatu hal yang sulit. Sebagai jalan mudah, ikan yang besar sebegitu akhirnya dilepaskan saja ke habitat liar.

Bagaimanapun, apa juga jenis haiwan peliharaan, termasuk ikan, jika dilepaskan secara sewenang-wenangnya boleh meninggalkan impak terhadap keseimbangan habitat semulajadi.