Apa anda perlu tahu tentang tragedi letupan Beirut

Letupan telah menyebabkan kemusnahan kepada hampir separuh bangunan di bandar berkenaan dan hospital sesak dengan kemasukan pesakit yang cedera.

Letupan menyebabkan kemusnahan kepada hampir separuh bangunan di bandar berkenaan dan hospital sesak dengan kemasukan pesakit yang cedera. | Astro Awani
SATU letupan kuat telah menggegarkan kota Beirut, Lubnan awal pagi Rabu.

Letupan telah menyebabkan kemusnahan kepada hampir separuh bangunan di bandar berkenaan dan hospital sesak dengan kemasukan pesakit yang cedera.

Ini beberapa fakta tentang kejadian:


1. Di mana ia berlaku?

Letupan berlaku di kawasan pelabuhan kapal besar di Beirut, berhampiran dengan kawasan tumpuan perniagaan (CBD).


2. Kematian dan kecederaan

Setakat ini, sejumlah 70 kematian dilaporkan dengan lebih 4,000 yang lain cedera.


3. Punca letupan?

Punca utama letupan berkenaan masih dalam siasatan. Bagaimanapun Menteri Hal Ehwal Dalaman Lubnan, Mohammad Fahmi berkata lokasi kejadian merupakan stor simpanan hasil rampasanlebih 2,750 tan ammonium nitrat yang merupakan hasil rampasan sebelum ini.

Ia dikatakan telah disimpan di stor itu sejak 2014, tetapi perincian mengenai mengapa ia dirampas, dari dari siapa atau dari mana, tidak didedahkan sepenuhnya.


4. Apa itu Ammonium Nitrat?

Ammonium nitrat merupakan garam ammonium yang terhasil daripada asid nitrik, satu sebatian yang sangat berbahaya jika masuk ke dalam badan manusia.

Ia digunakan secara meluas dalam penghasilan baja serta bahan letupan dalam sektor perlombongan untuk menghasilkan yis dan antibiotik.

Di Queensland, sebagai contoh, 99 peratus ammonium nitrat digunakan untuk bahan letupan di lombong, manakala 1 peratus untuk penghasilan baja.

Bahan itu boleh menghasilkan tindak balas yang berbahaya jika terdedah kepada bahan tertentu.


5. Adakah ini satu kemalangan?

Masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan berkenaan namun Presiden Lebanon Michel Aoun berkata tindakan menyimpan bahan mudah terbakar di dalam gudang berkenaan selama enam tahun tanpa sebarang langkah keselamatan adalah sesuatu yang tidak dapat diterima.

Jawatankuasa siasatan ditubuhkan untuk mengenal pasti dalang sebenar dalam tempoh lima hari.


6. Adakah ini tindakan sabotaj?

Walaupun ruang udara kawasan itu sering digunakan pesawat perang Israel, namun kerajaan Israel menafikan sebarang penglibatan dalam tragedi itu.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pula mendakwa kejadian berkemungkinan satu serangan.


7. Adakah situasi di Beirut masih tidak selamat?

Kedutaan AS di Beirut telah mengeluarkan amaran kepada penduduk setempat mengenai kemungkinan gas toksik yang terbebas hasil letupan itu.

Orang awam diseru untuk terus tinggal di kediaman masing-masing.


8. Sejauh mana letupan itu dirasai?

Kesan letupan itu dikatakan menghampiri kekuatan gempa bumi 3.5 skala Ritcher, menurut Pusat GeoSains Jerman.

Gegaran boleh dirasai sehingga ke Kepulauan Cyprus, 200 kilometer merentasi Lautan Mediterranean.

Orang awam yang merakam kejadian letupan itu dari 2 kilometer jauhnya, turut tercampak akibat impak yang kuat.