Skip to main content

Dunia

Arab Saudi sambung sebahagian penerbangan ke Dubai 7 Mac

Saudi airlines flight
Saudia akan menyambung semula sebahagian penerbangan ke dan dari Dubai mulai 7 Mac sekali gus memulihkan perkhidmatan udara terhad antara kedua-dua negara susulan gangguan di rantau itu. - Gambar hiasan

ISTANBUL: Syarikat penerbangan nasional Arab Saudi, Saudia, memaklumkan pada Jumaat akan menyambung semula sebahagian penerbangan ke dan dari Dubai mulai 7 Mac sekali gus memulihkan perkhidmatan udara terhad antara kedua-dua negara susulan gangguan di rantau itu, lapor Anadolu Ajansı (AA).

Dalam kenyataan dikeluarkan di syarikat media sosial X, syarikat penerbangan itu memaklumkan jadual awal akan merangkumi dua penerbangan pergi ke Dubai dan dua perkhidmatan balik.

Advertisement

Menurut Saudia, penerbangan akan mula beroperasi dengan jadual terhad dan perkhidmatan tambahan dijangka dipulihkan secara berperingkat bergantung pada perkembangan serantau.

Penumpang boleh menempah penerbangan menerusi laman web rasmi syarikat penerbangan itu dan aplikasi mudah alih.

Dalam perkembangan lain, Kuwait Airways menyatakan pihaknya telah mula mengendalikan penerbangan dari beberapa ibu kota serantau ke Arab Saudi untuk membantu membawa pulang warga Kuwait melalui laluan darat.

Penerbangan akan berlepas dari Barcelona, ​​Paris, Milan, Munich dan Bangkok, dan penumpang dikehendaki mendapatkan visa transit Saudi.

Perjalanan udara merentasi bahagian Timur Tengah berdepan gangguan beberapa hari kebelakangan ini berikutan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran, dan serangan balas oleh Tehran, menyebabkan penutupan ruang udara sementara dan penggantungan penerbangan di beberapa negara.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

 

Must Watch Video