RIYADH: Arab Saudi memutuskan untuk menyambung semula misi diplomatiknya di Syria, menurut Kementerian Hal Ehwal Luar negara itu.

Keputusan itu dibuat demi kepentingan menyumbang kepada pembangunan tindakan bersama Arab dan mengukuhkan keselamatan dan kestabilan serantau, menurut kenyataan kementerian yang dikeluarkan oleh Agensi Berita Arab Saudi (SPA) pada Rabu.

"... Dan mengambil kira resolusi yang dikeluarkan oleh mesyuarat Menteri Luar Majlis Negara Arab, yang diadakan di Kaherah pada 7 Mei yang menetapkan penyambungan semula penyertaan delegasi Syria dalam mesyuarat Majlis Liga Arab dan semua pertubuhan dan agensi gabungannya,...Kerajaan Arab Saudi memutuskan untuk menyambung semula misi diplomatiknya di Syria," menurut kenyataan itu.

Keputusan Arab Saudi itu juga selaras dengan komitmennya terhadap prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Liga Arab serta konvensyen dan norma antarabangsa.

Liga Arab pada Ahad memutuskan untuk mengembalikan semula keahlian Syria selepas digantung selama 12 tahun.

Keputusan untuk mengembalikan semula keahlian Syria dibuat menjelang sidang kemuncak tahunan Arab di Arab Saudi pada 19 Mei.

Keanggotaan Syria dalam badan dianggotai 22 negara itu digantung pada 2011 susulan kekerasan diambil kerajaan terhadap protes prodemokrasi yang menjerumus kepada perang saudara.

Bagaimanapun, Syria menyambung semula lawatan rasmi dan hubungan dengan beberapa negara Arab sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

-- BERNAMA