Skip to main content

Dunia

Arab Saudi sambut lebih 19.5 juta jemaah haji, umrah antarabangsa pada 2025

41712447416_MinistryofHajjand.jpg
Program Pengalaman Jemaah Arab Saudi mencatatkan pencapaian utama dalam meningkatkan perkhidmatan untuk jemaah dan penziarah pada 2025, dengan menyambut ketibaan lebih 19.5 juta jemaah haji dan umrah dari luar negara, menurut laporan tahunan terkini yang dikeluarkan bertemakan “Penghormatan dan Impak.” - Gambar fail
Advertisement

JEDDAH: Program Pengalaman Jemaah (PEP) Arab Saudi mencatatkan pencapaian utama dalam meningkatkan perkhidmatan untuk jemaah dan penziarah pada 2025, dengan menyambut ketibaan lebih 19.5 juta jemaah haji dan umrah dari luar negara, menurut laporan tahunan terkini yang dikeluarkan bertemakan Penghormatan dan Impak.”

Program berkenaan melaksanakan 87 inisiatif dengan kerjasama lebih 60 entiti sepanjang tahun lepas, sekali gus mencapai kadar pematuhan pelaksanaan 100 peratus sebagai sebahagian daripada usaha Arab Saudi di bawah Visi Saudi 2030 untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan memperkaya pengalaman jemaah, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Lebih 19.5 juta jemaah haji dan umrah dari luar negara tiba di Arab Saudi pada 2025, merangkumi 18.03 juta jemaah umrah dan 1.5 juta jemaah haji, menurut laporan itu.

Jumlah jemaah umrah melonjak 114 peratus berbanding pada 2022, mencerminkan kesediaan ekosistem dan kecekapan perkhidmatan yang disediakan.

Meskipun bilangan pengunjung terus meningkat, tahap kepuasan jemaah kekal tinggi. 

Kepuasan jemaah haji mencapai 91 peratus, manakala jemaah umrah mencatatkan 94 peratus, sekali gus melepasi sasaran Visi Saudi 2030 bagi kedua-dua petunjuk berkenaan.

Selain itu, Al-Rawdah Al-Sharifah menyambut lebih 16 juta pengunjung pada 2025, dengan tahap kepuasan pelawat meningkat kepada 88 peratus berbanding 57 peratus pada 2022. 

Keputusan ini menunjukkan impak positif daripada usaha memperbaik perkhidmatan serta memudah cara pelaksanaan ibadah mengikut standard kualiti dan kecekapan tertinggi.

Sebagai sebahagian daripada usaha memperkaya pengalaman keagamaan dan kebudayaan, laporan itu menyatakan bahawa bilangan tapak bersejarah dan destinasi pengayaan yang dibangunkan serta sedia menerima pengunjung di Makkah dan Madinah meningkat kepada 87 lokasi, yang menarik lebih 55 juta kunjungan. 

Pencapaian ini memperkaya pengalaman jemaah serta memperkukuh hubungan mereka dengan warisan sejarah Islam.

Mengenai penyertaan komuniti, laporan berkenaan merekodkan, seramai 184,569 sukarelawan menyantuni jemaah dan pengunjung pada 2025. 

Ini mencerminkan budaya kesukarelawanan yang kian berkembang di Arab Saudi dan menonjolkan peranan pentingnya dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Arab Saudi turut mencapai kedudukan tinggi dalam penarafan antarabangsa.

Makkah menduduki tangga kelima secara global dalam indeks bandar menerima jumlah pengunjung antarabangsa tertinggi, manakala Madinah di kedudukan ketujuh dunia dalam Indeks Prestasi Pelancongan.

Sebagai sebahagian daripada pembangunan berterusan perkhidmatan digital, laporan itu menyatakan bahawa 15.03 juta visa merangkumi kategori umrah, ziarah dan lain-lain telah dikeluarkan, dengan visa umrah menyumbang 83 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Pakistan, Indonesia dan Mesir merupakan negara pendahulu dari segi ketibaan pemegang visa umrah, sekali gus mencerminkan usaha bersepadu bagi memudah cara perjalanan jemaah serta pengunjung dan mempertingkat pengalaman keseluruhan mereka.

Laporan itu menyimpulkan bahawa segala usaha berkenaan menyumbang kepada pencapaian aspirasi Visi Saudi 2030 dan menterjemahkan peranan utama Arab Saudi dalam memberikan perkhidmatan kepada Dua Masjid Suci serta para pengunjungnya.

-- BERNAMA-SPA

 

 

Must Watch Video

Advertisement