Skip to main content

Malaysia

Hasil tanah Negeri Sembilan cecah RM404.04 juta setakat September – MB

Ismail bergambar bersama penerima Sijil Watikah Pelantikan Champion selepas merasmikan majlis permulaan pembangunan Sistem e-Tanah Negeri Sembilan hari ini. - Gambar Bernama
Ismail bergambar bersama penerima Sijil Watikah Pelantikan Champion selepas merasmikan majlis permulaan pembangunan Sistem e-Tanah Negeri Sembilan hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

SEREMBAN: Kutipan hasil tanah Negeri Sembilan meningkat sebanyak RM60.36 juta kepada RM404.04 juta setakat 30 Sept lepas berbanding RM343.68 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Menteri Besar Datuk Ismail Lasim berkata jumlah kutipan itu mewakili 98.10 peratus daripada sasaran RM411.86 juta yang ditetapkan bagi tahun ini.

Beliau berkata pencapaian itu disumbangkan oleh hasil bukan cukai yang merekodkan kutipan RM256.29 juta berbanding sasaran RM245.62 juta, manakala kutipan hasil cukai berjumlah RM147.74 juta berbanding sasaran RM166.24 juta.

Advertisement

“Bagi kutipan cukai tanah negeri, jumlah yang direkodkan sehingga 30 Sept tahun ini ialah RM144.18 juta berbanding RM143.64 juta dalam tempoh sama tahun lepas, sekali gus menunjukkan lebihan sebanyak RM534,975.93.

“Kerajaan negeri berharap pelaksanaan Sistem e-Tanah, khususnya menerusi pengenalan Modul Hasil dan kemudahan urusan dalam talian, dapat membantu mencapai sasaran kutipan hasil negeri sebanyak RM1 bilion menjelang 2030,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis permulaan pembangunan Sistem e-Tanah Negeri Sembilan di sini hari ini.

Advertisement

Beliau berkata projek e-Tanah yang melibatkan kos RM185.4 juta itu merupakan pelaburan besar kerajaan negeri bagi memodenkan pentadbiran tanah, termasuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada penduduk.

Dalam pada itu, Ismail berkata pelaksanaan sistem berkenaan turut memberi penekanan kepada ketepatan dan integriti data hak milik tanah, termasuk usaha menyelesaikan isu hak milik bertindih, maklumat tidak tepat, kesilapan pengiraan cukai tanah serta rekod hak milik yang telah terbatal tetapi masih wujud dalam sistem.

Beliau berkata aspek keselamatan sistem dan data juga perlu diberi perhatian bagi menangani risiko penipuan, pemalsuan geran serta manipulasi data yang boleh menjejaskan kepentingan kerajaan negeri dan pemilik tanah.

Ismail berkata sistem itu dijangka memudahkan urusan juruukur berlesen dan pemaju perumahan, khususnya dalam mengemukakan permohonan pembangunan tanah secara dalam talian, selain membolehkan pegawai atasan memantau pergerakan fail dan status permohonan secara langsung.

Beliau berkata pelaksanaan e-Tanah juga selaras dengan pengenalan Jadual Keenam Belas Kanun Tanah Negara yang membolehkan dokumen hak milik elektronik dikeluarkan tanpa perlu mencetak geran fizikal, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada penyimpanan dokumen secara fizikal.

“Bagi memastikan projek itu berjalan mengikut perancangan, vendor turut diminta menyediakan papan pemuka khas bagi membolehkan pengurusan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian negeri memantau kemajuan pembangunan, pencapaian setiap fasa serta sebarang isu atau kelewatan yang memerlukan tindakan segera,” katanya.

Beliau berkata setiap ciri dan fungsi yang dijanjikan perlu dilaksanakan sepenuhnya bagi memastikan pelaburan itu memberikan hasil yang boleh diukur serta memenuhi keperluan pentadbiran tanah dan harapan penduduk.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement