CYBERJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) telah mengaudit dan menyiasat sebanyak 408,726 kes sepanjang tahun ini, sekali gus menghasilkan taksiran cukai tambahan berjumlah kira-kira RM7.7 bilion.
Ketua pegawai eksekutif Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata tindakan pematuhan dan penguatkuasaan itu memberi tumpuan kepada beberapa bidang berisiko tinggi termasuk golongan individu bernilai bersih tinggi (HNWI), minuman keras, rokok dan vape serta aktiviti perancangan cukai agresif.
Beliau berkata LHDN turut memberi perhatian kepada isu harga pindahan, data e-Invois dan maklumat akaun pembayar cukai Malaysia di luar negara bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang percukaian negara.
“LHDN sentiasa mengutamakan pematuhan secara sukarela. Namun, LHDN akan bertindak tegas tanpa rasa takut atau pilih kasih terhadap pihak yang sengaja mengelak daripada melaksanakan tanggungjawab percukaian,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Inovasi dan Intergriti LHDN 2026 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Abu Tariq berkata LHDN sedang mempergiat penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh pematuhan dan menambah baik perkhidmatan kepada pembayar cukai.
Antara aplikasi AI yang dibangunkan dan sedang dibangunkan ialah HAFY-TaxAssist, iaitu chatbot berasaskan Conversational AI yang membolehkan pembayar cukai mendapatkan maklumat dan panduan percukaian sepanjang masa.
Selain itu, 'Instrument Recognition and Intelligence Model' (IRIM) dibangunkan bagi mengenal pasti jenis dokumen atau instrumen serta menentukan kadar duti setem yang bersesuaian berdasarkan kandungan dokumen.
LHDN turut menggunakan 'Behavioural Analytics' bagi menganalisis corak dan tingkah laku kumpulan pembayar cukai, sekali gus membolehkan strategi pemantauan dan pematuhan dilaksanakan secara lebih bersasar.
Menurut beliau, model itu membantu mengenal pasti kumpulan pembayar cukai berisiko tinggi berdasarkan analisis maklumat dalam gudang data LHDN.
Satu lagi aplikasi ialah 'Next-Best Action Predictive Model' yang membantu LHDN menentukan tindakan kutipan cukai paling sesuai berdasarkan profil kewangan, rekod pematuhan dan corak tingkah laku pembayar cukai yang mempunyai tunggakan.
Sementara itu, 'MyInvois Advanced Analytics Anomaly Detection Model' yang memanfaatkan data e-Invois telah mengenal pasti lebih 7,700 kes berpotensi mempunyai risiko percukaian yang memerlukan intervensi audit dan siasatan.
Abu Tariq berkata penggunaan AI itu membolehkan LHDN beralih daripada pendekatan pematuhan konvensional kepada kaedah yang lebih proaktif, bersasar dan berasaskan data.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata LHDN turut melancarkan Dokumen Integriti LHDN sebagai komitmen berterusan untuk memperkukuh tatakelola dan tadbir urus organisasi, selaras dengan Strategi Antirasuah LHDNM (SeAL) 2026-2028.
Beliau berkata dokumen itu akan menjadi rujukan utama berkaitan integriti dan perlu diterjemahkan melalui tindakan, dengan tiada ruang untuk penyalahgunaan kuasa, konflik kepentingan atau sebarang bentuk salah laku.
-- BERNAMA