Skip to main content

Malaysia

McDonald’s Malaysia perluas Program Santun Pelajar, fokus pembangunan mahasiswa

Program Santun Pelajar menerusi kerjasama dengan Astro Gempak itu diterjemahkan melalui inisiatif Gempakkan Kampus yang bermula di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Sabtu. - Foto McDonald's Malaysia
Program Santun Pelajar menerusi kerjasama dengan Astro Gempak itu diterjemahkan melalui inisiatif Gempakkan Kampus yang bermula di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Sabtu. - Foto McDonald's Malaysia
Advertisement

SERDANG: McDonald’s Malaysia memperluas Program Santun Pelajar dengan memberi penekanan kepada pembangunan diri, peningkatan kemahiran dan persediaan kerjaya mahasiswa, selain sumbangan makanan bagi meringankan beban kos sara hidup.

Naib Presiden Kanan merangkap Ketua Pegawai Impak McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai berkata, keperluan mahasiswa bukan hanya tertumpu kepada bantuan makanan, sebaliknya turut merangkumi panduan mengurus kewangan, menjaga kesejahteraan diri dan meningkatkan kemahiran komunikasi. 

Katanya, pendekatan itu diterjemahkan menerusi kerjasama dengan Astro Gempak melalui inisiatif Gempakkan Kampus yang bermula di Universiti Putra Malaysia (UPM), pada Sabtu.

Advertisement
Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Impak McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai

“Bila kita bercakap dan bertanya dengan mahasiswa dan pelajar-pelajar, mereka bukan sahaja memerlukan pertolongan dari segi sumbangan makanan, malah mereka juga memerlukan tip-tip ataupun informasi tentang kewangan, bagaimana nak seimbangkan kehidupan mereka dan penjagaan diri, dan juga bagaimana nak berkomunikasi dengan cara yang lebih baik.

“Kerjasama dengan Astro Gempak ini akan menambahkan lagi kesinambungan program Santun Pelajar kerana dengan Astro Gempak, kami dapat membawa kepada mahasiswa tip-tip daripada pihak yang sangat berkaliber dalam bidang masing-masing,” katanya.

Advertisement

Melati berkata, pengisian Gempakkan Kampus turut merangkumi perkongsian berkaitan pengurusan kewangan, keseimbangan antara pengajian dan kehidupan peribadi, pemikiran positif serta kemahiran komunikasi.

Menurutnya, perkongsian daripada selebriti, pencipta kandungan dan individu berpengalaman dalam bidang masing-masing diharap dapat memberi inspirasi kepada mahasiswa untuk meningkatkan potensi diri.

Dalam pada itu, beliau berkata Program Santun Pelajar yang diperkenalkan pada Februari lalu bermula dengan pemberian baucar Nasi Mekdi percuma kepada mahasiswa yang berdepan tekanan kos sara hidup.

“Melalui baucar Nasi Mekdi percuma, kita telah mengagihkan lebih 300,000 baucar kepada mahasiswa di institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia.

“Di UPM ini sendiri, kita telah memberikan Nasi Mekdi secara percuma kepada lebih 8,000 pelajar mereka,” katanya.

Selain bantuan makanan, McDonald’s Malaysia turut menyediakan peluang pembangunan kerjaya kepada golongan muda menerusi Management Apprentice Programme (MEP), Internship Programme dan Graduate Employability Programme (GEP).

Melati berkata, program berkenaan memberi peluang kepada mahasiswa mendapatkan pengalaman bekerja secara langsung atau on-the-job experience sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan.

Beliau berkata, sambutan terhadap penganjuran Gempakkan Kampus di UPM memberi keyakinan kepada pihaknya untuk meneruskan inisiatif itu ke institusi pengajian tinggi lain.

“Kami sangat teruja dan sangat bermotivasi dengan Gempakkan Kampus hari ini di UPM Serdang. Penglibatan para pelajar di sini dan tenaga daripada mereka sangat memberi kami keyakinan bahawa program ini dapat kami teruskan di IPT-IPT yang lain.

“Jadi, anda hanya perlu mengikuti maklumat di media sosial kami dan akan kami kongsikan juga di mana dan bila program seterusnya akan diadakan,” katanya.

Gempakkan Kampus merupakan inisiatif bersama Astro Gempak di bawah Program Santun Pelajar yang bertujuan memperluas sokongan kepada mahasiswa, merangkumi keperluan harian dan pembangunan potensi untuk masa depan.

Must Watch Video

Advertisement