MADRID: Sekumpulan pencuri melarikan sejumlah artifak dan barang kemas bersejarah daripada koleksi prasejarah paling berharga di Sepanyol dalam satu rompakan pantas yang berlaku di Muzium Villena, wilayah Alicante, awal pagi Khamis.
Sasaran rompakan itu ialah Khazanah Villena (Treasure of Villena), koleksi unik yang mengandungi hampir 10 kilogram emas serta pelbagai mangkuk, botol dan gelang yang berasal dari Zaman Gangsa, sekitar 1,000 tahun sebelum Masihi.
Pihak polis masih menjalankan penilaian untuk menentukan jumlah sebenar artifak yang dicuri, namun pihak muzium mengesahkan beberapa barangan termasuk cincin, mangkuk dan gelang emas antara yang dilarikan penjenayah.
Jurucakap Majlis Perbandaran Villena menyifatkan operasi itu sebagai “sangat pantas dan sangat profesional”.
Menurut laporan media tempatan, kejadian bermula sekitar jam 5.15 pagi waktu tempatan apabila sistem penggera di sebuah pusat sukan berhampiran diaktifkan, menyebabkan anggota polis bergegas ke lokasi tersebut.
Kira-kira lima minit kemudian, penggera di muzium pula berbunyi.
Bagaimanapun, pencuri hanya mengambil masa sekitar empat minit untuk memasuki bangunan itu, mengaut artifak yang disasarkan dan melarikan diri sebelum polis tiba.
Datuk Bandar Villena, Fulgencio Cerdan, berkata sebahagian besar khazanah berkenaan, khususnya barangan emas, dipercayai telah dicuri.
“Mereka mengambil sebahagian besar khazanah itu. Penduduk bandar ini amat terkejut dan sedih kerana ia merupakan sebahagian daripada warisan dan kekayaan kami,” katanya seperti dilaporkan akhbar El País.
Koleksi Khazanah Villena mengandungi lebih 60 objek Zaman Gangsa termasuk 29 gelang, 11 mangkuk dan tiga botol, selain beberapa artifak lain yang diperbuat daripada emas, perak, besi dan ambar.
Khazanah bersejarah itu ditemui pada 1963 oleh ahli arkeologi Jose María Soler dalam sebuah bekas yang tertanam di dasar sungai kering di Villena.
Majlis bandaraya menegaskan tiada kegagalan sistem keselamatan di muzium berkenaan.
“Semua sistem keselamatan telah berfungsi dan diaktifkan seperti sepatutnya,” kata jurucakap majlis itu.
Insiden di Villena merupakan antara beberapa rompakan berprofil tinggi yang menyasarkan muzium di Eropah sejak kebelakangan ini.
Pada Oktober tahun lalu, sekumpulan pencuri melakukan rompakan berani di Muzium Louvre, Paris, pada waktu siang dan melarikan barang kemas bernilai kira-kira AS$102 juta sebelum meloloskan diri menggunakan skuter dalam tempoh sekitar lapan minit.
Minggu lalu pula, empat karya seni berharga hasil pelukis Renaissance, Antonello da Messina, dilaporkan dicuri dari sebuah muzium di Sicily, Itali.
Awal bulan ini, polis Itali mengumumkan penemuan semula beberapa lukisan karya Pierre-Auguste Renoir, Paul Cezanne dan Henri Matisse bernilai lebih AS$10.4 juta yang sebelum itu dicuri dari Muzium Yayasan Magnani-Rocca berhampiran Parma.
Siasatan terhadap kes rompakan di Muzium Villena masih diteruskan, manakala pihak berkuasa Sepanyol berusaha mengesan kumpulan pencuri dan mendapatkan semula artifak yang hilang.