IPOH: Hujan lebat berterusan sejak petang semalam menyebabkan beberapa kawasan di daerah Kinta serta Manjoi dinaiki air dan laluan terputus.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak memaklumkan Jalan Menteri di Manjoi terputus hubungan akibat dinaiki air pada 6.45 petang.
Agensi itu bagaimanapun memaklumkan air di jalan berkenaan dan paras air sungai di kawasan sekitar mulai surut.
“Taman Hock Aun di daerah Kinta turut dinaiki air, namun air semakin surut,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Pegawai Khas Menteri Besar Perak bagi Dewan Udangan Negeri Manjoi Datuk Asmuni Awi berkata turut dinaiki air Jalan Menteri, Jalan Tali Api, Jalan Pemimpin, Kampung Tengku Hussein Hujung dan kawasan sekitar.
“Pasukan Pusat Komuniti DUN Manjoi kini berada di lokasi bagi memantau keadaan mangsa banjir, ada penduduk memaklumkan air naik sehingga paras dada,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau berkata penduduk yang terjejas dan terpaksa berpindah telah mendapatkan perlindungan sementara di Masjid Al-Ghufran, Kampung Manjoi dan Dewan KRT Kampung Tengku Hussein.
Setakat ini, jumlah mangsa dan pembukaan pusat pemindahan sementara masih belum diperoleh.
-- BERNAMA