KOTA KINABALU: Keadaan gelap gelita tidak menghalang pasukan teknikal Sabah Electricity daripada meneruskan kerja pemasangan menara sementara menggunakan Sistem Pemulihan Kecemasan (ERS) di Ranau malam tadi.
Sabah Electricity dalam kenyataan memaklumkan kerja pemasangan fasa kedua yang dilaksanakan malam tadi antara lain melibatkan pemasangan bahagian atas menara, diikuti pemasangan kabel selepas struktur menara dipastikan kukuh.
Menurut kenyataan itu, kerja pemasangan fasa kedua dimulakan selepas kerja pemasangan fasa pertama yang antara lain merangkumi pemasangan sistem penambat dan tapak menara selesai pada 6.28 petang semalam.
“Kerja pemulihan itu berjalan mengikut garis masa yang dirancang dan walaupun hujan ringan berlaku di lokasi, keselamatan anggota kerja kekal menjadi keutamaan pada setiap peringkat pelaksanaan,” katanya.
Sabah Electricity turut memaklumkan pihaknya menggembleng segala tenaga, kepakaran dan sumber yang ada bagi memastikan setiap peringkat kerja dilaksanakan dengan teliti serta mematuhi prosedur keselamatan yang ditetapkan.
Kejadian menara runtuh pada 6.04 pagi Khamis mengakibatkan dua litar talian penghantaran elektrik dari Pantai Barat ke Pantai Timur Sabah terputus, sekali gus menyebabkan gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan 153,599 pengguna berdaftar.
Sabah Electricity menyasarkan bekalan elektrik dapat dipulihkan pada Selasa ini atau lebih awal.
Orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini menerusi laman Facebook rasmi Sabah Electricity Careline atau menghubungi talian 15444 dan 088-515000 serta menerusi WhatsApp di 019-8525427.
-- BERNAMA