MANILA: China dan ASEAN kekal komited mempertahankan multilateralisme serta menggalakkan perdagangan bebas meskipun berdepan peningkatan sekatan perdagangan global dan langkah perlindungan ekonomi.
Perdana Menteri China, Li Qiang, berkata kedua-dua pihak terus memperluas kerjasama ekonomi walaupun berdepan peningkatan sikap unilateral, konflik geopolitik serta persekitaran antarabangsa yang semakin mencabar.
Beliau berkata, komitmen itu penting bagi memastikan kerjasama ekonomi serantau terus berkembang dan manfaatnya dapat diperluas kepada semua pihak.
"Walaupun sekatan ekonomi dan perdagangan meningkat dengan ketara di seluruh dunia, kita kekal teguh komited mempertahankan multilateralisme dan menggalakkan perdagangan bebas, selain berusaha memperluas manfaat kerjasama," katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-29 di sini, pada Isnin.
Li Qiang berkata, China dan ASEAN sejak sekian lama memperjuangkan globalisasi ekonomi serta integrasi serantau, dengan keterbukaan dan manfaat bersama kekal sebagai teras hubungan kedua-dua pihak.
Katanya, kerjasama China-ASEAN menunjukkan daya tahan sepanjang lima tahun lalu apabila terus mencatat momentum pertumbuhan ekonomi meskipun berdepan ketidaktentuan global.
Beliau berkata, nilai perdagangan dua hala melebihi AS$1 trilion (RM4.09 trilion) tahun lalu, meningkat 20.1 peratus berbanding 2021.
"Malah, perdagangan antara China dan ASEAN terus berkembang 29.6 peratus dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.
"Dari segi pelaburan pula, jumlah pelaburan dua hala terkumpul kini melebihi AS$500 bilion, meningkat lebih 50 peratus berbanding lima tahun lalu," jelasnya.
Li Qiang berkata, kerjasama turut berkembang ke sektor baharu termasuk ekonomi digital, ekonomi hijau dan kecerdasan buatan (AI).
Beliau turut menyifatkan pemeteraian Protokol Peningkatan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN 3.0 sebagai asas institusi penting bagi pembangunan pasaran serantau yang lebih besar.
Selain itu, menurut beliau, kedua-dua pihak menerima pakai dan melaksanakan Pelan Tindakan bagi Pelaksanaan Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-China 2026-2030 yang menetapkan keutamaan kerjasama untuk tempoh lima tahun akan datang.
Dalam aspek kesalinghubungan serantau, Li Qiang menyentuh pembangunan infrastruktur utama termasuk Kereta Api Berkelajuan Tinggi Jakarta-Bandung dan Kereta Api China-Laos yang membantu memperkukuh integrasi ekonomi.
Beliau berkata, pembukaan Terusan Pinglu serta pelaksanaan Program Visa ASEAN turut memudahkan pergerakan rakyat, modal dan teknologi di rantau ini.
Mengulas kejayaan kerjasama berkenaan, Li Qiang menggariskan tiga prinsip utama iaitu persahabatan dan saling membantu, keterbukaan serta manfaat bersama, selain pembangunan berteraskan inovasi.
Katanya, kedua-dua pihak perlu terus memperkukuh keupayaan inovasi dan meneroka sumber pertumbuhan ekonomi baharu bagi memastikan kerjasama China-ASEAN terus berkembang.