CANBERRA: Ahli Parlimen Bebas Australia, Helen Haines, berkata beliau kini memasuki fasa pemulihan selepas dibenarkan keluar dari hospital hampir empat minggu selepas cedera parah dalam insiden dipercayai dirempuh sebuah kenderaan.
Menurut laporan BBC, Haines, 65, mengucapkan penghargaan kepada pasukan perubatan yang merawatnya susulan kejadian yang berlaku di luar pejabat kawasannya di Wangaratta, timur laut Melbourne, pada 19 Oktober lalu.
"Ini adalah satu detik yang sangat positif dan saya amat bersyukur atas rawatan profesional serta penuh ihsan yang saya terima," katanya dalam kenyataan awam pertama sejak kejadian itu.
Haines turut berkata ribuan mesej sokongan yang diterima dari seluruh Australia dan luar negara menjadi sumber kekuatan ketika beliau meneruskan proses pemulihan.
Menurut BBC, kejadian itu mengejutkan rakyat Australia selepas Haines dilaporkan mengalami kecederaan serius yang menyebabkan kedua-dua kakinya terpaksa dipotong.
Seorang lelaki berusia 43 tahun, Brendan Nugent, didakwa atas beberapa pertuduhan termasuk memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan parah, sengaja mendatangkan kecederaan serius dan mencederakan penjawat awam. Bagaimanapun, beliau belum mengemukakan sebarang pengakuan di mahkamah.
Polis Victoria memaklumkan siasatan masih diteruskan dengan bantuan Polis Persekutuan Australia dan motif kejadian setakat ini masih belum dikenal pasti.
Haines, yang memasuki Parlimen pada 2019 sebagai wakil kawasan Indi, dikenali kerana memperjuangkan tindakan lebih tegas terhadap perubahan iklim serta peranannya dalam usaha menubuhkan suruhanjaya antirasuah peringkat kebangsaan.
Sementara itu, Perdana Menteri Australia Anthony Albanese berkata beliau sentiasa mengikuti perkembangan keadaan Haines dan keluarganya.
"Semua doa dan ingatan kami terus bersama Helen sepanjang proses pemulihannya," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut BBC, insiden itu turut mencetuskan perdebatan lebih luas mengenai suasana wacana politik di Australia, dengan beberapa pemimpin dan pakar memberi amaran bahawa retorik politik yang semakin tegang boleh meningkatkan risiko keganasan terhadap ahli politik.