Ringkasan AI
- Malaysia akan terus menggerakkan usaha diplomatik dengan pelbagai pihak bagi mencari penyelesaian kepada krisis Myanmar, termasuk melalui pertemuan langsung dengan kepimpinan negara itu.
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan pendekatan ini tidak mengetepikan kerangka ASEAN dan Konsensus Lima Perkara, serta turut menangani isu kebajikan rakyat Myanmar di Malaysia.
- Perbincangan Sidang Kemuncak ASEAN turut menyentuh isu jenayah penipuan rentas sempadan, potensi kerjasama AI, dan keperluan mempercepatkan pelaksanaan Jaringan Grid Tenaga ASEAN.
MANILA: Malaysia akan terus menggerakkan usaha diplomatik dengan pelbagai pihak bagi mencari penyelesaian kepada krisis Myanmar, termasuk menerusi pertemuan secara langsung dengan kepimpinan negara itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu antara yang dibincangkan pada pemukiman Sidang Kemuncak ASEAN di sini, pada Ahad.
Menurutnya, perbincangan itu turut menyentuh perkembangan hasil pertemuan beliau dengan kepimpinan Myanmar di Bangkok dan Beijing, selain lawatan rasmi Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing Min Aung Hlaing ke Malaysia pada Oktober lalu.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, pendekatan itu tidak mengetepikan kerangka ASEAN dan Konsensus Lima Perkara (5PC), sebaliknya membuka ruang untuk Malaysia menyampaikan pendirian serta harapan secara terus, selain menangani isu dua hala termasuk kebajikan rakyat Myanmar di negara ini.
"Saya turut berkongsi perbincangan bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, yang antara lain menyentuh perkembangan di Myanmar.
"Ini memperlihatkan keperluan untuk meneruskan usaha diplomatik dengan pelbagai pihak bagi mencari penyelesaian kepada kemelut tersebut," katanya dalam Facebooknya di sini, pada Isnin.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata perbincangan turut menyentuh ancaman jenayah penipuan rentas sempadan serta potensi kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
Dalam soal tenaga pula, beliau menggesa supaya pelaksanaan Jaringan Grid Tenaga ASEAN dipercepatkan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, khususnya daripada sektor ekonomi digital dan pusat data.
Katanya, usaha itu penting bagi memperkukuh keterjaminan bekalan tenaga serantau, seiring perkembangan ekonomi dan keperluan tenaga ASEAN yang semakin meningkat.