PUTRAJAYA: Presiden Perancis, Emmanuel Macron akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada 16 dan 17 Nov, ketika kedua-dua negara berusaha meningkatkan hubungan yang telah lama terjalin dalam pelbagai bidang kepada Perkongsian Strategik.
Lawatan itu yang diadakan atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, merupakan kunjungan rasmi pertama Macron ke Malaysia sejak beliau memegang jawatan sebagai Presiden Perancis pada Mei 2017.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan, Macron akan diiringi isterinya, Brigitte Macron, termasuk beberapa menteri Kabinet dan pegawai kanan kerajaan sepanjang lawatan berkenaan.
Macron dan isteri dijadual tiba di Kuala Lumpur pada Isnin dan akan disambut oleh Perdana Menteri bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Pada Selasa, Macron dan isteri akan diberikan Istiadat Sambutan Rasmi di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur, diikuti dengan mesyuarat dua hala Malaysia-Perancis yang dipengerusikan bersama oleh kedua-dua pemimpin.
"Mesyuarat dua hala itu akan menumpukan kepada usaha meningkatkan hubungan Malaysia-Perancis ke tahap Perkongsian Strategik, mencerminkan keutuhan serta kepentingan strategik hubungan yang telah lama terjalin ini.
"Perkongsian Strategik ini akan menjadi kerangka bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang-bidang utama termasuk perdagangan dan pelaburan, mineral kritikal, peralihan tenaga, pertahanan dan pendidikan, dengan matlamat untuk memupuk kerjasama yang saling menguntungkan dan melengkapi antara satu sama lain," menurut kenyataan itu.
Sepanjang lawatan berkenaan, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) meliputi bidang kerjasama strategik termasuk pertahanan, pendidikan tinggi, mineral kritikal dan peralihan tenaga.
Perdana Menteri juga akan menganjurkan Majlis Makan Tengah Hari bagi meraikan Macron, isteri dan delegasi.
Pada 2025, jumlah perdagangan antara Malaysia dengan Perancis mencecah RM17.78 bilion (AS$4.17 bilion).
Eksport Malaysia ke Perancis bernilai RM6.05 bilion (AS$1.41 bilion), dengan produk elektrik dan elektronik merupakan kategori eksport utama.
Import dari Perancis pula berjumlah RM11.73 bilion (AS$2.76 bilion), sebahagian besarnya terdiri daripada peralatan pengangkutan, jentera dan bahan kimia.
Perancis merupakan rakan dagang ke-21 terbesar Malaysia di peringkat global dan keempat terbesar dalam kalangan negara Eropah.
Lawatan rasmi berkenaan dijangka dapat mengeratkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Perancis sejak 1957, serta mengukuhkan kerjasama dalam bidang-bidang yang mempunyai kepentingan bersama.
-- BERNAMA