Ringkasan AI
- Jepun mencadangkan penubuhan pasukan petugas untuk menyelaras kerjasama serantau dalam penyimpanan stok minyak dan penyaluran bekalan ketika kecemasan.
- Inisiatif ini akan diselaraskan bersama skim penyimpanan stok minyak Filipina dan dicadangkan setara dengan versi Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) untuk Asia.
- Negara Asia Tenggara memiliki simpanan stok minyak lebih kecil, manakala bekalan minyak mentah dan produk petroleum kini semakin terhad.
MANILA: Jepun mencadangkan penubuhan pasukan petugas bagi menyelaraskan kerjasama serantau dalam penyimpanan stok minyak serta penyaluran bekalan ketika kecemasan, termasuk membolehkan negara jiran memanfaatkan kapasiti penyimpanan minyak yang tidak digunakan di negara itu.
Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, berkata inisiatif berkenaan akan diselaraskan dengan skim penyimpanan stok minyak bersama yang diterajui Filipina.
“Kami berhasrat mempromosikannya sebagai setara dengan versi Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) bagi rantau Asia,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC) di sini, pada Selasa.
Selain itu, Takaichi turut mencadangkan inisiatif 'Power Gulf' bagi memperkukuh kerjasama antara negara pengeluar minyak di Asia Barat dengan negara Asia yang menggunakan tenaga.
Usaha itu dilihat penting ketika negara-negara Asia berusaha memperkukuh keselamatan tenaga susulan perang Iran yang mendedahkan kerentanan rantau ini terhadap gangguan bekalan minyak dan gas dari Asia Barat, khususnya yang melalui Selat Hormuz.
Menurut Agensi Sumber Asli dan Tenaga Jepun, kira-kira 90 peratus minyak mentah yang melalui laluan perairan itu menuju ke Asia.
Sementara itu, Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr., berkata negaranya sedang mencapai kemajuan dalam usaha membangunkan rizab petroleum strategik selain mendapatkan pelaburan bagi projek tenaga untuk memperkukuh keselamatan tenaga serantau.
Bagaimanapun, beliau menegaskan penyimpanan stok minyak semata-mata tidak mencukupi.
“Keselamatan tenaga yang mampan dan berkekalan menuntut negara pengguna serta pengeluar minyak bertindak secara bersama. Kita perlu memperkukuh perkongsian maklumat dan aturan penyimpanan praktikal, selain komited mempertahankan undang-undang antarabangsa bagi memastikan laluan laut kekal terbuka serta pasaran yang adil dan telus,” katanya.
AZEC dianggotai Australia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Jepun, Laos, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Berbanding Jepun, negara-negara Asia Tenggara mempunyai simpanan stok minyak yang lebih kecil, manakala bekalan minyak mentah dan produk petroleum seperti nafta, iaitu bahan utama dalam penghasilan plastik, kini semakin terhad.