Skip to main content

Politik

BN kemuka satu calon baharu MB Negeri Sembilan - Ahmad Zahid

Menurut Ahmad Zahid, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan untuk mempertimbangkan calon yang dicadangkan tanpa mendedahkan identiti figura dimaksudkan. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Menurut Ahmad Zahid, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan untuk mempertimbangkan calon yang dicadangkan tanpa mendedahkan identiti figura dimaksudkan. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar

Ringkasan AI

  • Barisan Nasional telah mengemukakan satu nama calon Menteri Besar Negeri Sembilan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan untuk pertimbangan.
  • Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara Tuanku tanpa mendedahkan identiti calon tersebut.
  • Peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim dibuat atas keputusan sendiri dan bukan arahan UMNO, menurut Ahmad Zahid.
Advertisement

PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) mengemukakan satu nama calon bagi mengisi kekosongan Menteri Besar Negeri Sembilan susulan peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, nama tersebut telah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menerusi warkah yang diserahkan bagi mendapatkan perkenan Tuanku.

Menurut Ahmad Zahid, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan untuk mempertimbangkan calon yang dicadangkan tanpa mendedahkan identiti figura dimaksudkan.

Advertisement

“Setakat ini saya mengemukakan hanya satu nama sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Festival Idea Putrajaya (FOI) 2026, di sini, pada Selasa.

Tambah Zahid, penyerahan warkah itu merupakan kelaziman bagi parti, khususnya BN, untuk mencadangkan nama calon Menteri Besar baharu susulan peletakan jawatan penyandang.

Advertisement

Menurut Zahid, sekiranya nama berkenaan mendapat perkenan, hanya Tuanku dan pihak Istana Negeri Sembilan mempunyai kuasa untuk mengumumkannya.

Dalam pada itu, Zahid menegaskan keputusan peletakan jawatan Ismail bukan berikutan arahan UMNO, sebaliknya dibuat atas keputusan Menteri Besar itu sendiri.

“Tidak timbul soal itu kerana peletakan jawatan berkenaan dibuat oleh Datuk Ismail Lasim sendiri,” katanya ringkas.

Ahmad Zahid berpandangan keputusan itu mungkin dibuat atas kesedaran untuk membolehkan kemelut di Negeri Sembilan diselesaikan dengan kadar segera.

“Beliau (Ismail) tidak memberikan alasan, mungkin atas rasa dan kesedaran bahawa beliau mahu supaya permasalahan ini dapat dirungkai dengan secepat mungkin,” jelasnya.

Pada Isnin, Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Zambry Abd Kadir memaklumkan, Ahmad Zahid menerima satu salinan surat peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan oleh Ismail, yang telah diutuskan kepada Tuanku Muhriz.

Must Watch Video

Advertisement