Ringkasan AI
- Perancis menawarkan kerjasama dalam pembangunan tenaga nuklear awam dan memuktamadkan pelan hala tuju baharu industri pertahanan bersama Malaysia.
- Kedua-dua negara menandatangani perjanjian perolehan helikopter Airbus Caracal dan bersetuju menubuhkan Pusat Kecemerlangan Malaysia-Perancis untuk menangani ancaman hibrid.
- Perancis komited menyokong kerjasama tenaga, digital dan pelaburan, serta menegaskan pendirian bersama mempertahankan undang-undang antarabangsa dan multilateralisme.
KUALA LUMPUR: Perancis menyatakan kesediaan untuk menjadi rakan kongsi yang dipercayai Malaysia dalam pembangunan tenaga nuklear awam bagi menyokong usaha penyahkarbonan negara, di samping memuktamadkan pelan hala tuju baharu industri pertahanan dua hala.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata, tawaran strategik itu merupakan sebahagian daripada komitmen Paris selepas kedua-dua negara bersetuju menaik taraf hubungan diplomatik kepada Perkongsian Strategik, menjelang ulang tahun ke 70 hubungan Malaysia-Perancis tahun hadapan.
Dalam bidang keselamatan dan pertahanan, beliau memaklumkan kedua-dua negara menandatangani perjanjian penting membabitkan perolehan helikopter Airbus Caracal sebagai langkah permulaan pelan hala tuju industri pertahanan, selain meneruskan perbincangan susulan berkaitan aset kapal selam.
Menurutnya, Malaysia dan Perancis turut bersetuju menubuhkan Pusat Kecemerlangan Malaysia-Perancis bagi menangani ancaman hibrid yang akan melatih pegawai awam serta anggota tentera kedua-dua negara dalam mendepani ancaman keselamatan moden.
“Pertahanan dan keselamatan menjadi salah satu tunjang kedaulatan kedua-dua negara dan kini kita mempunyai pelan hala tuju bagi industri pertahanan kita. Kita telah menandatangani perjanjian penting berkaitan helikopter Caracal oleh Airbus dan turut mengadakan perbincangan yang sangat baik mengenai kapal selam,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Sultan Abdul Samad di sini pada Selasa.
Mengulas sektor peralihan tenaga pula, Macron menegaskan Perancis bersedia berkongsi kepakaran dalam tenaga nuklear awam serta gas asli cecair (LNG) menerusi kerjasama berterusan antara syarikat tenaga Perancis, TotalEnergies dan Petronas.
Selain itu, beliau mengumumkan pembukaan Sekolah Pengawal Selia di Kuala Lumpur dengan sokongan Agensi Pembangunan Perancis (AFD) bagi membantu merangka dasar tenaga serantau selaras dengan aspirasi Grid Tenaga ASEAN.
Dalam sektor teknologi tinggi dan pendigitalan, Macron memaklumkan syarikat Perancis, Alcatel Submarine Networks (ASN) telah memeterai perjanjian kabel dasar laut bagi memperkukuh kesalinghubungan digital bebas Malaysia, manakala syarikat semikonduktor SiPearl dan SkyeChip menjalin kerjasama membangunkan mikropemproses pengkomputeran berprestasi tinggi serta pusat data.
Dari sudut geopolitik, Macron menegaskan bahawa dalam dunia yang tidak menentu hari ini, Malaysia dan Perancis sepakat membawa suara jalan tengah yang bebas daripada tunduk kepada mana-mana kuasa besar dunia demi mempertahankan undang-undang antarabangsa dan multilateralisme.
Beliau turut memberi jaminan bahawa Perancis sebagai pelabur kedua terbesar Eropah di Malaysia dengan kehadiran lebih 300 syarikat akan terus menyokong rundingan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU).