Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menghargai pendirian Presiden Perancis Emmanuel Macron yang tegas menyokong isu kemanusiaan di Gaza dan Palestin.
- Macron menegaskan komitmen Perancis dan Malaysia mempertahankan Piagam PBB, kedaulatan Palestin dan Ukraine, serta menolak dwistandard antarabangsa.
- Anwar menekankan kerjasama dua hala termasuk bidang kebudayaan, kesusasteraan dan pelaburan tenaga antara Malaysia dan Perancis terus diperkukuh.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pendirian Presiden Perancis, Emmanuel Macron dalam isu Gaza dan Palestin sebagai suara hati nurani yang berani menentang arus politik toksik serta sikap hipokrit masyarakat antarabangsa.
Beliau berkata, Malaysia amat menghargai pendirian konsisten Paris yang terus mengutamakan aspek kemanusiaan, tatkala isu hak asasi manusia dan keadilan, sering diperkatakan secara terpilih oleh pihak tertentu.
“Saya nyatakan dengan sangat jelas betapa kami menghargai pendirian yang diambil oleh Perancis, khususnya dalam isu Gaza dan Palestin.
“Ia adalah suara hati nurani dan keprihatinan kemanusiaan yang sebahagian besarnya diabaikan oleh begitu banyak pendirian politik yang toksik.
"Kadangkala dalam bahasa yang keras, wujud banyak hipokrasi apabila bercakap soal hak asasi manusia dan keadilan yang perlu kita tangani,” katanya pada sidang media bersama Macron di Bangunan Sultan Abdul Samad di sini pada Selasa.
Macron dalam kenyataan balasnya turut menzahirkan penghargaan terhadap komitmen Malaysia serta menegaskan kedua-dua negara bebas daripada dwistandard dalam mempertahankan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kedaulatan Palestin dan Ukraine, serta hak setiap rakyat untuk hidup aman dan menikmati integriti wilayah masing-masing.
Mengulas konflik Rusia-Ukraine pula, Anwar menegaskan bahawa Malaysia mengambil pendirian tegas menentang pencerobohan Rusia ke atas Ukraine baik di dalam negara mahupun di pentas PBB, walaupun Putrajaya mengekalkan saluran libat urus bersama kepimpinan Rusia.
Dalam perkembangan sama, Anwar menyifatkan Macron sebagai rakan sejati Malaysia yang sentiasa mendengar pandangan negara membangun secara saksama tanpa mengambil mudah hubungan dua hala.
Malah, beliau mendedahkan sanggup berulang-alik dari Sidang Kemuncak ASEAN di Manila semata-mata untuk menerima lawatan rasmi pemimpin Perancis itu serta mengadakan mesyuarat dua hala pertama seumpamanya di Bangunan Sultan Abdul Samad.
Anwar turut menyeru agar kerjasama kebudayaan dan kesusasteraan antara kedua-dua negara terus diperkukuh termasuk melalui penterjemahan karya agung pemikir Perancis seperti Victor Hugo, Montesquieu dan Jean-Jacques Rousseau ke dalam bahasa tempatan.