Ringkasan AI
- Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr menggesa ASEAN dan China menyelesaikan pertikaian Laut China Selatan secara aman ketika rundingan Kod Tata Laku (COC) masih berterusan.
- Rundingan COC kini mencapai persetujuan sementara bagi 80 peratus draf, namun penyelesaian penuh dijangka diteruskan hingga 2027 di bawah kepengerusian Singapura.
- Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-29 turut menekankan kerjasama ekonomi, tenaga, dan menangani pencemaran plastik serta memperingati ulang tahun penting hubungan kedua-dua pihak.
MANILA: Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr menggesa ASEAN dan China supaya mengawal diri serta menyelesaikan pertikaian di Laut China Selatan secara aman ketika rundingan Kod Tata Laku (COC) yang telah lama dinantikan masih belum dimuktamadkan meskipun mencapai kemajuan ketara.
Berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-29 di sini pada Isnin, Marcos mengakui kemajuan yang dicapai dalam usaha merangka COC yang substantif dan berkesan, sambil menyatakan bahawa kedua-dua pihak telah memanfaatkan garis panduan yang diterima pakai pada 2023 sebagai asas untuk memajukan usaha merangka kod berkenaan selaras dengan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS).
"Komitmen bersama kita terhadap undang-undang antarabangsa dan penyelesaian pertikaian secara aman mesti dicerminkan melalui tindakan," kata beliau sambil menyeru kedua-dua pihak supaya saling menghormati dan mengadakan kerjasama praktikal.
Sidang kemuncak itu berlangsung ketika rundingan COC yang pada asalnya disasarkan selesai menjelang akhir tahun ini dijangka diteruskan hingga 2027 di bawah kepengerusian ASEAN oleh Singapura.
Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Ma. Theresa Lazaro pada Ahad berkata rundingan itu kini berada pada peringkat akhir, dengan persetujuan sementara dicapai bagi kira-kira 80 peratus daripada draf berkenaan.
ASEAN dan China menandatangani Deklarasi Tata Laku Pihak-Pihak di Laut China Selatan (DOC) pada 2002 bagi menggalakkan penyelesaian pertikaian secara aman serta kestabilan serantau.
COC yang dicadangkan bertujuan memperkukuh deklarasi itu dengan menetapkan peraturan yang lebih substantif bagi mengurus ketegangan dan mencegah insiden di perairan yang menjadi pertikaian.
Sidang Kemuncak ASEAN-China itu turut menandakan ulang tahun ke-35 hubungan dialog ASEAN-China dan ulang tahun kelima Perkongsian Strategik Komprehensif antara kedua-dua pihak.
Marcos berkata tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-50 Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), yang disertai China pada 2003 sebagai rakan dialog ASEAN pertama berbuat demikian.
Beliau berkata penyertaan China dalam perjanjian itu mencerminkan komitmen Beijing terhadap prinsip TAC serta pengiktirafannya terhadap peranan utama ASEAN di rantau ini.
"Walaupun berdepan pelbagai kebimbangan serantau dan global, ASEAN dan China terus mencari titik persamaan serta meneruskan kerjasama yang menghasilkan manfaat nyata," kata Marcos sambil merujuk kepada kenyataan bersama mengenai usaha menangani kesan perkembangan di Asia Barat terhadap rantau ini serta memperkukuh kerjasama tenaga serantau sebagai contoh.
Marcos turut mengetengahkan peluang kerjasama antara ASEAN dan China dalam menangani pencemaran plastik, dengan merujuk kepada penyertaan syarikat dari kedua-dua pihak dalam forum Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang diadakan di Manila pada November 2025.
Sementara itu, Perdana Menteri China Li Qiang menggesa ASEAN dan China memelihara perdagangan bebas ketika sekatan perdagangan semakin meningkat, sambil menyatakan bahawa Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China yang dipertingkatkan (ACFTA 3.0) akan membantu mewujudkan pasaran serantau yang lebih bersepadu.
"China dan negara anggota ASEAN mempunyai sejarah panjang dalam hubungan persahabatan," kata beliau sambil menambah bahawa kerjasama dalam ekonomi digital, ekonomi hijau dan kecerdasan buatan (AI) berkembang pesat sepanjang lima tahun lepas.
Beliau turut menyebut Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Jakarta-Bandung dan Kereta Api China-Laos sebagai contoh peningkatan kesalinghubungan serantau.
-- BERNAMA