Ringkasan AI
- Kementerian Kesihatan Malaysia menyasarkan draf Rang Undang-Undang Pemakanan disiapkan pada tahun 2027 untuk mewujudkan persekitaran pemakanan lebih sihat.
- Skop utama RUU termasuk kawalan pemasaran makanan tidak sihat, perlindungan pemakanan bayi dan kanak-kanak, serta promosi amalan pemakanan sihat.
- RUU ini akan melengkapi Akta Makanan 1983, dengan kos pelaksanaan masih belum dimuktamadkan dan bergantung kepada hasil Analisis Impak Peraturan.
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan draf Rang Undang-Undang (RUU) Pemakanan disiapkan pada 2027, dengan kawalan pemasaran makanan tidak sihat antara skop utama yang bakal diberi perhatian.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penggubalan RUU berkenaan bertujuan mewujudkan persekitaran yang menyokong amalan pemakanan lebih sihat dalam kalangan rakyat.
Jelasnya lagi, cadangan penggubalan RUU berkenaan telah dimulakan sejak 2022 dan dilaksanakan secara berfasa, termasuk sesi libat urus bersama pihak berkepentingan bagi mendapatkan pandangan serta input awal.
“Bagi tempoh 2025 hingga 2026, tumpuan diberikan kepada pemantapan skop RUU, pelaksanaan Analisis Impak Peraturan (RIA), konsultasi teknikal serta pembangunan kerangka perundangan.
“Penyediaan draf RUU Pemakanan disasarkan untuk disiapkan pada tahun 2027 sebagai persediaan bagi pembentangan di Parlimen,” jelas Dzulkefly di Dewan Rakyat, pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Rodziah Ismail (PKR-Ampang) yang meminta KKM menyatakan garis masa RUU Pemakanan bagi mengawal pengambilan nutrisi rakyat akan digubal serta perincian objektif, skop utama cakupan serta kos keseluruhan.
Tambah Dzulkefly, antara skop utama yang bakal dimasukkan dalam RUU berkenaan ialah perlindungan dan sokongan berkaitan pemakanan bayi serta kanak-kanak, kawalan pemasaran makanan tidak sihat, pelaksanaan pemakanan sihat di institusi dan penyediaan persekitaran yang menyokong pilihan makanan lebih sihat.
Katanya lagi, RUU itu dirangka dengan pendekatan berorientasikan pendidikan yang menekankan promosi dan peningkatan literasi kesihatan, pembudayaan amalan pemakanan sihat serta pewujudan persekitaran yang menyokong pemakanan lebih baik.
Dalam pada itu, RUU berkenaan akan melengkapi Akta Makanan 1983 yang ketika ini mengawal selia aspek keselamatan, kualiti, komposisi dan pelabelan produk makanan.
Mengulas mengenai kos pelaksanaan, KKM memaklumkan anggaran keseluruhan masih belum dimuktamadkan dan akan ditentukan berdasarkan hasil RIA serta keperluan pelaksanaan RUU berkenaan.